Suntik Vaksin Covid-19 Macam Suntikan Biasa – PM

- Advertisement -

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkongsi pengalamannya selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 yang menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan hari ini.

“Saya tak rasa apa-apa pun. Saya tunggu sekejap tengok dah habis, macam suntikan biasa. Jangan bimbang tampil ke hadapan bila-bila masa,” katanya pada majlis yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Beliau yang menzahirkan rasa syukur dengan suntikan vaksin berkenaan menyatakan keyakinan bahawa vaksin tersebut selamat dan berkesan.

Justeru, beliau merayu seluruh rakyat serta mereka yang tinggal di negara ini supaya tampil mendaftar melalui aplikasi MySejahtera supaya dapat ditentukan giliran penerimaan suntikan vaksin COVID-19.

“Jadi, yakin dan percayalah bahawa usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan ini untuk menentukan kita dapat memutuskan rantaian COVID-19 ini, insya-Allah akan berjaya.

“Saya ingin sekali lagi menyeru supaya kita bersama-sama mendukung usaha untuk menentukan negara kita nanti, insya-Allah dalam satu tempoh masa yang singkat akan bebas daripada wabak COVID-19 ini,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri menerima suntikan dos pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 di sini, antara Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang dikenal pasti bagi program imunisasi terbesar negara itu.

Turut menerima suntikan pertama dan merupakan antara yang terawal menerima vaksinasi dalam program imunisasi itu ialah Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Noor Hisham Abdullah dan empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bertemakan “Lindung Diri, Lindung Semua” itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

Malaysia menerima kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos pada Ahad melalui pintu masuk utama negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Johor dan Pulau Pinang. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat