271 Kematian Akibat Gempa Bumi Di Indonesia

- Advertisement -

JAKARTA – Angka kematian dalam gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter di daerah Cianjur Jawa Barat Isnin lepas, meningkat kepada 271 dengan 40 orang masih hilang, menurut seorang pegawai.

Berdasarkan data yang dikumpul setakat jam 5 petang waktu tempatan pada Rabu, sekurang-kurangnya 2,043 orang cedera dan 61,908 lagi ditempatkan di pusat pelindungan selepas 56,320 rumah rosak.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Suharyanto dalam taklimat maya berkata, 6,000 anggota terdiri daripada BNPB, tentera dan polis terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

Pasukan penyelamat kini kesuntukan masa untuk mencari mangsa yang terselamat ekoran gegaran susulan dan hujan menghalang usaha menyelamat di kawasan pergunungan di daerah itu.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan Save the Children yang berpangkalan di London, gempa bumi itu mengorbankan berpuluh-puluh murid sekolah dan mencederakan berpuluh-puluh lagi kerana ia berlaku semasa kelas berlangsung.

Ketua pasukan responsnya di Cianjur, Fadli Usman berkata, gegaran itu memaksa kanak-kanak di 80 sekolah meninggalkan bilik darjah mereka sejurus selepas waktu makan tengah hari.

“Kita belum pasti berapa ramai kanak-kanak yang cedera atau terbunuh, namun gempa bumi melanda semasa bilik darjah penuh dengan kanak-kanak. Ramai yang melarikan diri sambil menangis, tidak tahu apa yang berlaku

“Kami tidak boleh memandang rendah kesan psikologi yang muncul akibat peristiwa traumatik seperti itu terhadap kanak-kanak dan kami perlu melakukan segala yang kami mampu untuk melindungi mereka,” katanya.

Save the Children menyertai pihak berkuasa dan agensi bantuan lain dalam membekalkan khemah sebagai tempat perlindungan sementara bagi keluarga yang kehilangan tempat tinggal serta makanan, air, selimut dan bekalan perubatan.

Gempa bumi baru-baru ini meragut nyawa paling tinggi di Indonesia, selepas gempa bumi dan tsunami Sulawesi 2018 yang meragut kira-kira 4,340 nyawa. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,479FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat