Annuar Tidak Bercakap Bagi Pihak BERSATU Tetapi Mempertahankan Kejujuran Politik – Tun Faisal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Tan Sri Annuar Musa bukan bercakap bagi pihak Bersatu dan mendahului Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam soal taktikal parti seperti didakwa, kata Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau percaya Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu hanya mempertahankan kejujuran politik, iaitu bercakap benar dan tidak menyembunyikan fakta sebenar mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Tun Faisal memberitahu, matlamat akhirnya bukan mempertahankan Bersatu atau Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetapi mempertahankan agenda penyatuan ummah, kuasa politik ummah dan memastikan UMNO tidak tersilap langkah dalam percaturan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“ Tidak wajar untuk terus menerus memainkan naratif palsu mengenai PRN Sabah yang direka-reka untuk memberi justifikasi kepada usul menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan cara menyemarakkan permusuhan dengan Bersatu.

“Saya berdoa supaya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), ahli UMNO dan cybertrooper berbayar yang memainkan naratif palsu, sentimen kebencian dan anti penyatuan ummah ini segera insaf dan kembali kepada asas perjuangan sebenar, iaitu pemerintah Islam, permuafakatan Ummah, penyatuan bangsa, “no Anwar dan no DAP”. Jangan bersubahat dengan penyebar naratif palsu dan usaha menghalalkan sokongan terhadap Anwar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tun Faisal menambah, mungkin Annuar dilihat seolah-olah bersendirian menyatakan soal ini secara terbuka, hakikatnya, beliau tidak berseorangan.

“Tiga kali usul menyokong Anwar dibawa ke dalam mesyuarat melibatkan Ahli Parlimen dan pemimpin tertinggi UMNO. Tiga kali usul ini ditolak. Apakah maksudnya?

“ Maksudnya, Annuar mungkin salah seorang yang menyuarakannya di media, tapi bukan bagi pihak Bersatu dan Perikatan Nasional (PN), sebaliknya bagi pihak majoriti Ahli MKT dan Ahli Parlimen BN yang masih belum mahu menyuarakan pandangan mereka secara terbuka tapi telah menegaskan pendirian mereka dalam mesyuarat-mesyuarat peringkat tertinggi melibatkan mereka,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Tun Faisal mengulas berhubung dua perkara janggal dalam tulisan seorang Ahli MKT UMNO apabila dia menulis mengenai Annuar.

“Pertama, isu PRN Sabah, seperti yang semua Ahli MKT dan semua ahli UMNO sedia maklum, dalam soal perundingan kerusi PRN Sabah, UMNO Pusat telah memberikan autonomi kepada UMNO Sabah untuk membuat segala perundingan dan keputusan.

“Jika ada sebarang kerusi yang diserahkan kepada Ppbm, ia adalah kehendak penuh UMNO Sabah. UMNO Sabah juga yang mempunyai kuasa penuh untuk menentukan calon dan 27 kerusi yang dipersetujui untuk ditandingi UMNO semasa rundingan dengan parti-parti lain. UMNO Sabah juga mempunyai autonomi penuh untuk mengumumkan bahawa ia akan bertanding 31 kerusi, bukan 27 kerusi seperti yang dipersetujui dalam rundingan. Ia bukan keputusan UMNO Pusat. Penentuan calon dan jumlah kerusi tidak dirundingi dan diputuskan oleh pemimpin UMNO Pusat.

“ Kedua, telah dijelaskan juga berulang kali bahawa sejak awal lagi Perdana Menteri menawarkan jawatan Ketua Menteri Sabah kepada UMNO kerana UMNO bertanding paling banyak kerusi. Bagaimanapun Utusan Malaysia telah tersilap petik ucapan Muhyiddin sebagai mengumumkan Hajiji sebagai Ketua Menteri, sedangkan dalam ucapan Muhyiddin pada 12 September 2020, disebut, “kita mesti bekerja kuat bantu calon kita, mana lah tahu kalau rakan-rakan kita dalam PN, BN dan yang lain pun bersetuju yg terbaik yg kita tawarkan sebagai calon untuk memimpin negeri Sabah, tak lain tak bukan Datuk Seri Hajiji.” Di hadapan penyokong Bersatu, Muhyiddin menyebut perkataan ‘yang kita tawarkan’, bukan menegaskan bahawa Hajiji akan dipilih menjadi Ketua Menteri,” ujarnya.

Menurut Tun Faisal, sebagai respon terhadap tajuk berita Utusan Malaysia yang tidak tepat mengenai ‘pengumuman Hajiji sebagai Ketua Menteri’ ini, Presiden UMNO pada 26 September 2020 dilaporkan sebagai menyatakan bahawa beliau menyerahkan sepenuhnya kepada ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah untuk menentukan calon Ketua Menteri.

Begitupun, kata Presiden lagi, berdasarkan kelaziman, calon daripada parti yang mempunyai kerusi paling banyak akan diangkat menjadi Ketua Menteri.

“ Selepas keputusan PRN Sabah, bukankah Ketua Menteri Sabah ditentukan oleh Adun Sabah sendiri dan semua pihak dalam kalangan Adun-Adun Sabah dan kepimpinan semua parti-parti yang terlibat baik di Sabah mahupun di Pusat telah bersetuju Hajiji menjadi Ketua Menteri melainkan seorang pemimpin Pusat.

“ Bagaimanapun Hajiji tetap dipilih menjadi Ketua Menteri berdasarkan keputusan majoriti yang diputuskan oleh Adun-adun Sabah, termasuk Adun UMNO. Pemimpin-pemimpin Pusat dari UMNO, Bersatu dan PAS hanya berperanan untuk membantu rundingan agar keputusan yang dipersetujui ramai dapat dicapai,” jelas beliau.

Tun Faisal berkata, adakah Annuar terlibat dalam rundingan selepas PRN Sabah? Ya, sebaik sahaja keputusan PRN diterima, pada malam yang sama sehingga pukul tiga pagi rundingan dibuat untuk menentukan siapa yang ingin dipilih sebagai Ketua Menteri Sabah.

“Adakah Annuar (dan pemimpin UMNO lain yang terlibat) gagal mewakili kepentingan UMNO dalam rundingan jawatan Ketua Menteri malam itu? Kenyataan Presiden sendiri menyebut perkara ini diserahkan kepada Adun-adun Sabah dan Ketua Menteri dipilih berdasarkan parti yang menang paling banyak kerusi dan paling banyak sokongan.

“ PN menang 17 kerusi DUN dan mendapat sokongan tujuh orang Adun PBS dan tiga Adun Bebas berbanding hanya 14 kerusi yang dimenangi oleh BN. Bukankah itu keputusan Presiden yang diumumkan pada 26 September? Itulah yang telah dilaksanakan,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat