‘Allahyarham A Ali kurang cakap, fokus kerja’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bait lagu Sampaikan Salam Cintaku dendangan Alleycats yang berbunyi ‘andai ku tiada andai ku pejam mata, biar ku abadi cinta yang setia ini’ bagai menggambarkan bagaimana komposer terkenal era 1980-an itu mahu dikenang.

Bukan sedikit sumbangan Allahyarham A Ali terhadap pembangunan dunia muzik Malaysia terutama pop Melayu pada era 1980-an.

Memiliki sentuhan tersendiri, A Ali membawa ciri-ciri kemelayuan dalam nuasa pop yang dicipta hingga menjadi ‘trademark’ seniman hebat ini.

Lagu ciptaannya seperti Sampaikan Salam Cintaku dendangan Alleycats, Rayuanku (Rohana Jalil) dan Diriku Terbelenggu (Francissca Peter), misalnya, ‘kaya’ dengan melodi kemelayuan dengan lenggok dan pengkisahan cerita yang menjadikan karyanya berbeza daripada komposer lain.

Usah dinafikan impak besar lagu Menaruh Harapan ciptaan arwah untuk Zaiton Sameon hingga diangkat sebagai Juara Lagu 1987.

Allahyarham A Ali boleh ‘membaca’ kisah hidup Zaiton – malah diakui sendiri penyanyi itu sehingga lagu itu menjadi cukup ‘besar’ dan menjadi rujukan dalam pencapaian karier Zaiton hingga hari ini.

Menyemak portfolio seni A Ali, ternyata karyawan ini ‘low profile’ berbanding komposer lain pada era kegemilangannya. Namun, hakikatnya, perjalanan A Ali dalam dunia muzik hebat.

Pada pertengahan 1970-an, A Ali pernah menganggotai kumpulan Sweet Charity, iaitu band rock yang diasaskan vokalisnya, Datuk Ramli Sarip dan teman-teman di Singapura.

Band ini cukup berpengaruh, malah, pada era kebangkitan muzik rock pada 1980-an, kumpulan seperti Search dan Lefthanded menjadikan Sweet Charity sebagai idola.

Arwah kemudian dipelawa menyertai kumpulan Kembara oleh Datuk M Nasir, seperti yang diceritakan kepada BH Online. Bermula sebagai peminat ketika arwah menjadi gitaris Sweet Charity, akhirnya M Nasir dan A Ali menganggotai kumpulan sama.

 

A Ali membawa ciri-ciri kemelayuan dalam nuasa pop yang dicipta hingga menjadi ‘trademark’. Foto Ihsan Norhuda A Ali
A Ali membawa ciri-ciri kemelayuan dalam nuasa pop yang dicipta hingga menjadi ‘trademark’. Foto Ihsan Norhuda A Ali

 

M Nasir mengaku A Ali adalah mentornya ketika mula-mula bertapak dalam dunia seni, lebih 40 tahun lalu.

Pada pertengahan 1980-an, A Ali yang berasal dari Johor Bahru, Johor, bergabung pula dengan John Goh menubuhkan kumpulan Pelangi yang popular dengan lagu Biarku Menjadi Lilin dan Aku Jambatan Buatmu.

Kelmarin, anak Allahyarham A Ali atau nama sebenarnya, Hamdan Atan, Norhuda berkongsi berita pemergian komposer itu yang didapati tidak sedarkan diri oleh ibunya, Latifah Khamis, kira-kira jam 8.30 pagi.

Norhuda dilaporkan berkata, arwah bapanya tidak mempunyai masalah kesihatan kronik dan pemergiannya ketika tidur pada usia 71 tahun, mengejutkan.

Berkongsi kenangan bersama Allahyarham, Zaiton menyanjung jasa A Ali menjulang namanya dengan lagu Menaruh Harapan yang meraih Juara Lagu 1987.

“Gandingan arwah dengan Habsah Hassan sebagai penulis lirik lagu itu cukup menjadi. Arwah cipta lagu Menaruh Harapan dengan menyelami pahit getir hidup saya.

“Dengan lirik dihasilkan Habsah yang saya anggap kakak, arwah menyelami kisah duka saya seperti berkahwin, bercerai dan macam-macam lagi,” katanya.

Zaiton juga terkenang lagu Masa Mengubah Segalanya ciptaan arwah yang juga menyentuh kisah pahit hidupnya.

“Seingat saya ada tiga lagu arwah cipta untuk saya. Sebuah lagi single, Rayuanku dendangan Rohana, pada mulanya diberikan kepada saya.

“Namun, saya tolak lagu itu dan sebabnya, biarlah rahsia,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33, Francissca, cukup menyenangi sikap A Ali.

“Arwah berperibadi baik dan mulia. Bagi saya, arwah tidak cakap banyak. Arwah fokus dengan kerja dan sentuhan seninya cukup berbisa,” katanya.

Tambah Francissca atau mesra disapa Fran, lagu Diriku Terbelenggu ciptaan arwah dengan lirik dihasilkan Habsah, melonjakkan popularitinya pada 1988.

“Lagu itu ada nilai sentimental kepada saya. Saat lagu itu diserahkan komposer Manan Ngah, saya sudah jatuh hati mendengar melodinya.

“Lagu ciptaan arwah bagai ada roh yang bagai boleh menyelami hati dan perasaan saya sebagai penyanyi.

“Saya pula jenis ‘jiwang’…. Tidak dinafikan, lagu itu ada serba sedikit kaitan dengan pengalaman sendiri,” katanya.

Ibarat pepatah harimau mati meninggalkan belang, Allahyarham A Ali pergi meninggalkan legasi. Jenazah Allahyarham A Ali dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Kantan, Kajang, selepas Asar, kelmarin.

Berita Harian

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,393FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat