KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh mengakui sejak era pemerintahan Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Razak lagi kerajaan sudah nyatakan kesukaran untuk memansuhkan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Bahkan katanya, hakikat kesukaran kerajaan melaksanakan pemansuhan itu mendapat reaksi negatif sehinggakan Najib dimaki dan dihina.
“Kita dah cakap lama dah sejak dari zaman BN kerajaan dulu, tapi tak nak percaya malah kutuk lagi kerajaan ketika itu dan berbakul Najib Razak dimaki dan dihina.
“Mungkin antara cadangan semasa zaman BN dahulu untuk beri percuma kepada peminjam yang mendapat keputusan cemerlang dan pengurangan kepada peminjam yang lain terutama daripada keluarga yang kurang kemampuan boleh diteruskan.
“Apa boleh buat, layan je lah,” ujar Akmal.
Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud yang menyatakan komitmen kewangan negara yang besar menyukarkan pelaksanaan pemansuhan hutang PTPTN ketika ini.
Pada masa sama katanya, kerajaan juga perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sudah membayar hutang berkenaan.