Bajet 2022: Jurang Pembangunan Antara Bandar Dan Desa Harus Diberi Perhatian

- Advertisement -

SETIU: Jurang pembangunan antara bandar dan desa serta nasib rakyat yang terkesan akibat COVID-19 perlu diberi perhatian pada pembentangan Bajet 2022 hujung bulan ini.

Itu antara keluhan dan harapan penduduk luar bandar untuk menikmati kehidupan berkualiti dalam suasana yang semakin mencabar.
Bagi Zokri Othman, 43, capaian internet wajar diperluaskan manakala golongan memerlukan dibantu berikutan situasi yang mendesak.

“Kita melihat sesuatu yang amat serius bagi memberikan kemudahan kepada rakyat terutamanya apa yang kita lihat, fokus kepada capaian internet di kawasan luar bandar.

“Kita tengok pelajar sekolah hari ini dalam alam pembelajaran maya mengalami masalah. Mereka terpaksa keluar untuk mencari lokasi yang mempunyai capaian internet.

“Kadang-kadang sampai ada yang terpaksa panjat pokok, mendaki bukit bukau untuk dapatkan capaian internet ini.

“Jadi, saya sarankan pihak kerajaan fikirkan sesuatu supaya masyarakat di luar bandar juga dapat menggunakan kemudahan sebagaimana mereka di kawasan bandar,” katanya.

Zokri turut berharap agar kerajaan dapat menangani masalah pengangguran dan membuka peluang pekerjaan kepada graduan yang baharu menamatkan pengajian.

Sementara itu, Nik Man Mat Yasin yang merupakan salah seorang penggiat pelancongan menyarankan kerajaan supaya mencari jalan penyelesaian untuk memulihkan sektor berkenaan.

“Saya sebagai penggiat industri pelancongan mengharapkan kerajaan dapat membantu agensi-agensi pelancongan di Malaysia ini terutamanya dalam mengurangkan beban yang telah lama ditanggung oleh kami penggiat industri ini sejak COVID-19 bermula menular pada Mac 2020.

“Apa yang kami harapkan adalah supaya kerajaan memberi bantuan untuk pengusaha terutamanya yang menghadapi masalah bayaran balik seperti hutang-hutang bas. Ini kerana setiap bulan kita perlu membuat pembayaran kepada syarikat-syarikat kredit,” katanya.

Selain itu, Nik Man turut meminta kerajaan agar melanjutkan tempoh moratorium sehingga sektor pelancongan kembali pulih seperti sedia ada.

Menurut seorang petani Wan Dali Wan Ishak, 63, yang mengusahakan tanaman padi meminta kerajaan agar prihatin tentang nasib mereka.

“Saya sebagai seorang petani mengharapkan pihak kerajaan mengawal kenaikan bahan-bahan input pertanian seperti baja, dan racun.

“Ini kerana ianya menjadi masalah buat kami apabila pengeluaran hasil terlalu sedikit di samping keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Saya betul-betul berharap pihak kerajaan prihatin dan membela nasib petani seperti kami,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan pembentangan Bajet 2022 akan menumpukan kepada pemulihan, pembinaan semula daya tahan negara dan pemangkin pembaharuan, atau 3R iaitu ‘recovery’, ‘resilience’, ‘reform’.

– Astro Awani

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
27,581FollowersFollow
13,813SubscribersSubscribe

Topik Hangat