KLUANG – Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching tidak menyangkal wujudnya rasa tidak puas hati dikalangan masayarakat Cina susulan penyelarasan subsidi diesel namun ia bukanlah masalah spesifik.
Justeru, selaku Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Nie Ching berkata,adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk turun memberi penjelasan rasional kepada rakyat yang terkesan dengan penyelarasan subsidi dan tidak hanya tertumpu kepada masyarakat Cina sahaja.
“Kalau cakap ada yang marah, tidak gembira…saya rasa itu bukan hanya masyarakat Cina saja. Tapi saya percaya orang lain yang dulunya menikmati subsidi diesel juga akan rasa tidak puas hati.
“Jadi, saya tak lihat ini sebagai isu yang spesifik atau isu ini (subsidi diesel) hanya wujud dalam kalangan masyarakat Cina.
“Sebagai salah seorang anggota kerajaan, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menjelaskan kepada rakyat jelata kenapa perlunya formula baharu untuk subsidi diesel, selain mengekang kes penyeludupan bahan api yang serius. Ikut statistik dari 2019 ke tahun 2023, kenderaan diesel meningkat 33 peratus saja tetapi kegunaan diesel meningkat sebanyak 70 peratus, jadi angka ini tidak munasabah,” jelas beliau ketika sidang media pada Isnin.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kulai itu berkata, secara lazimnya setiap kali harga sesuatu barang naik dan rakyat terkesan dengan kenaikan ini memanglah rakyat tidak gembira.
Sebelum ini Perikatan Nasional (PN) mendakwa masyarakat Tionghua kurang senang dengan penyelarasan subsidi diesel yang dilaksana kerajaan.