Kadar inflasi meningkat 4.7 peratus pada Ogos, masih antara paling rendah di dunia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi Malaysia pada bulan Ogos 2022 meningkat 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada Julai lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar inflasi masih tinggi berikutan fenomena global yang turut dialami oleh kebanyakan negara disebabkan kenaikan input pengeluran dan harga bahan api.

“Kadar inflasi Malaysia inflasi negara meningkat 3.1 peratus bagi tempoh Januari-Ogos 2022. Ia masih selari dengan jangkaan pasaran untuk kadar inflasi sebanyak 3.2 peratus bagi tahun 2022.

“Ini didorong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh, harga komoditi yang masih berada pada tahap yang tinggi dan gangguan dalam rantaian bekalan global.

“Kadar inflasi Malaysia adalah antara yang paling rendah di dunia. Kadar inflasi pada bulan Ogos 2022 di Zon Euro adalah sebanyak 9.1 peratus, Amerika Syarikat (8.3 peratus), Thailand (7.9 peratus), Filipina (6.3 peratus) dan Republik Korea (5.7 peratus).

“Kadar inflasi yang lebih rendah di Malaysia adalah hasil daripada langkah Kerajaan Keluarga Malaysia untuk menyediakan subsidi yang terbesar dalam sejarah negara,” jelas Mustapa dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut beliau antara kumpulan yang mencatat peningkatan yang tinggi bagi tempoh Januari-Ogos 2022 adalah kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol (5.1 peratus), pengangkutan (4.5 peratus) dan restoran dan hotel (4.0 peratus).

“Peningkatan kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol pada tempoh Januari-Ogos tahun 2022 disumbangkan terutamanya oleh peningkatan subkumpulan daging (9.2 peratus), diikuti oleh susu, keju dan telur (7.3 peratus).

“Kumpulan pengangkutan pula mencatat peningkatan sebanyak 4.5 peratus disebabkan terutamanya oleh kenaikan harga purata minyak mentah Brent sebanyak 58.4 peratus dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

“Kumpulan restoran dan hotel turut mencatat kenaikan 4.0 peratus bagi Januari-Ogos tahun 2022 berbanding 0.2 peratus pada tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Ujar beliau, pada Ogos 2022 kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol, yang meningkat sebanyak 7.2 peratus.

“Kenaikan ini didorong oleh komponen makanan di luar rumah yang meningkat sebanyak 8.4 peratus manakala makanan di rumah meningkat sebanyak 6.4 peratus.

“Walau bagaimanapun, masih terdapat beberapa barangan makanan yang mencatatkan penurunan harga berbanding bulan Julai 2022 seperti ayam (-3.8 peratus), ikan siakap (-2.4 peratus) dan sayur-sayuran seperti timun (-4.6 peratus), kacang buncis (-3.6 peratus) dan kubis bulat (-2.6 peratus).

“Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, kenaikan inflasi bagi bulan Ogos 2022 menyederhana kepada 0.2 peratus berbanding 0.4 peratus pada bulan Julai2022. Ini terutamanya disumbangkan oleh kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol dan kumpulan pengangkutan yang meningkat lebih rendah berbanding bulan sebelumnya,” katanya.

Jelas Mustapa, kerajaan melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi telah mengambil langkah dan inisiatif untuk membendung inflasi serta memastikan rakyat tidak terlalu terbeban dengan kenaikan kos sara hidup.

“Antara langkah yang terkini diambil termasuklah -meneruskan kawalan harga ayam dan telur ayam serta pemberian subsidi penternakan yang dianggar sebanyak RM1.1 bilion; meneruskan kawalan harga minyak masak sawit tulen kemasan botol 1 kg, 2 kg, 3 kg dan 5 kg secara harga siling bergerak berdasarkan harga minyak sawit mentah dunia.

“Selain itu, meneruskan kawalan harga bagi komoditi seperti beras dan gula putih bertapis walaupun harga komoditi tersebut serta harga gas asli merupakan antara faktor kos utama dalam input pengeluaran meningkat; meneruskan pemberian subsidi bahan api dan tenaga kepada produk petroleum iaitu RON95, diesel dan gas cecair asli dengan jumlah subsidi lebih RM31 bilion. Kerajaan turut memberi subsidi tarif elektrik sebanyak
RM5.8 bilion bagi mengawal kenaikan tarif elektrik walaupun harga bahan api dan gas dunia meningkat.

“Juga meneruskan subsidi minyak masak paket 1 kg pada kadar RM2.50 berbanding harga sebenar 1 kg sebanyak RM7 hingga RM9; memperluaskan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) kepada semua Dewan Undangan Negeri (DUN). Sebanyak 512 DUN atau 80.1 peratus daripada 639 DUN telah bermula PJMKM sejak pertengahan Ogos 2022. Keluarga Malaysia boleh mendapatkan barangan sehingga 20 peratus lebih murah daripada harga pasaran setempat. Harga yang murah ini adalah manfaat secara langsung subsidi harga melibatkan peruntukan RM100 juta.

“Saluran berita tempatan di media elektronik akan terus meuar-uarkan mengenai PJMKM bagi membolehkan Keluarga Malaysia mendapat maklumat terkini mengenai premis, barangan jualan dan potongan harga yang ditawarkan; mengadakan program jualan murah di institut pengajian tinggi awam
(IPTA) atau PJMKM@Kampus. Program ini akan melibatkan kerjasama dengan koperasi universiti bagi membolehkan siswa mendapat barangan keperluan pada harga berpatutan,” katanya.

Di samping itu menurut beliau lagi, Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada memperkukuhkan sekuriti makanan negara. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan melaksanakan kajian untuk mengenal pasti langkah-langkah quick wins dalam menangani isu dan cabaran sekuriti makanan negara dan kajian ini dijangka akan selesai dalam masa tiga bulan.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga sedang meneraju satu kajian untuk memperkukuhkan ekosistem sekuriti makanan negara jangka panjang secara menyeluruh merangkumi hala tuju untuk tempoh 10 tahun yang akan datang.

“Usaha yang diambil oleh Kerajaan sebelum ini telah mendapat hasil di mana harga bagi beberapa barangan makanan asas yang mengalami peningkatan harga yang tinggi sebelum ini, seperti minyak masak, ayam dan telur telah stabil.

“Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk membendung inflasi, terutamanya melalui Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi. Dengan langkahlangkah yang diambil oleh Kerajaan secara berterusan, keadaan inflasi negara secara keseluruhan adalah terkawal,” kata Mustapa.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat