Kenyataan Zamani Ibrahim Tiada Kesalahan, Hanya Berunsur Pandangan Politik Peribadi – Polis

- Advertisement -

PETALING JAYA – Polis mengesahkan tiada sebarang kesalahan membabitkan hantaran Facebook suami Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengenai kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. yang dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Ketua Polis Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, semakan mendapati, kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Zamani Ibrahim itu adalah hantaran pada 11 Mei 2018 dan merupakan kenyataan persendirian pemilik akaun tersebut.

Kata beliau, kenyataan yang dimuat naik oleh pemilik akaun ini adalah berunsurkan pandangan politik peribadi semasa dan tidak berlaku sebarang kesalahan jenayah.

“Kenyataan lama ditularkan kembali menerusi media sosial oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan tindakan ini telah mengundang pelbagai reaksi netizen.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan gambar, video serta kenyataan lama bagi mengelak kekeliruan dan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zam Halim berkata, pihaknya juga menerima aduan orang awam mengenai hantaran berkenaan pada 18 Ogos lalu kira-kira pukul 9.30 petang.

Jelas beliau, pihak polis tidak membuka kertas siasatan berkenaan aduan ini.

“Pihak polis Cheras juga berharap agar orang ramai dapat memeriksa kesahihan gambar, video serta kenyataan yang tersebar di media sosial sebelum berkongsi dengan orang lain.

“Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,”jelasnya.

Terdahulu, satu laporan polis dibuat Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman di Balai Polis Presint 7, Putrajaya.

Laporan tersebut dibuat Hamidah di sebuah balai di Putrajaya di sini dan telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Hamidah berkongsi salinan laporan polis tersebut dalam satu hantaran di Facebook dan memaklumkan laporan itu dibuat berikutan satu hantaran tular berbaur politik dan prejudis terhadap bekas Perdana Menteri oleh pemilik akaun bernama Zamani Ibrahim dipercayai merupakan suami kepada Ketua Hakim Negara.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu berkata, hantaran dibuat individu terbabit berbaur politik dan dikatakan gembira dengan kejatuhan Najib yang tular di media sosial.

Difahamkan, laporan polis yang dibuatnya adalah demi integriti kehakiman negara. –Utusan

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat