KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menyelar kenyataan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Aiman Athirah Sabu yang menyifatkan PAS hipokrit kerana mengkritiknya menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat arak.
Menurut Fadhli cara jawapan Aiman Athirah itu tidak wajar dan perlu diperbetul.
“Saya rasa yang paling baik ialah Timbalan Menteri nyatakan bahawa ‘saya minta maaf, saya tak perasan ada promosi dari syarikat arak Tiger dalam majlis itu’, selesai.
“Ni dah melalut sampai isu tangan makan babi. Orang persoalkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Menteri pun dah keluarkan kenyataan tiada pengecualian. Apa pula kaitan dengan tangan makan babi ni?
“Untuk makluman, tiada masalah bersalam dengan tangan makan babi, tiada hukum yang kata tak boleh, bersalamlah asalkan bukan berlainan jantina yang bukan mahram,” kata Ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Tegas Fadhli, tangan makan rasuah, tangan langgar janji dengan rakyat, tangan tipu rakyat lebih hina dari tangan makan babi.
“Adakah sebenarnya YB Timbalan Menteri bertujuan menghina kawan-kawan kita kaum Tionghua? Sekadar bertanya,” soalnya.
Terdahulu media melaporkan, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Aiman Athirah Sabu menyifatkan PAS hipokrit kerana mengkritiknya menyertai acara kutipan dana sebuah sekolah Cina yang menerima sumbangan syarikat arak.
Aiman atau nama sebenarnya Raj Munni membidas, pemimpin PAS sebelum ini tidak pula mempunyai masalah bersalam dengan orang bukan Islam yang sedang minum arak atau makan babi.
“Masa kempen itu, dia kalau orang tengah minum arak pun tak apa. Makan babi pun tak apa.
“Baru lepas makan babi salam pun tak apa. Hipokrit,” kata anggota parlimen Sepang.
Ahad lalu, acara anjuran Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Tche Min di Sungai Pelek, Sepang terpalit kontroversi selepas Tiger Beer menjadi salah satu penajanya.
Sementara itu, Aiman yang juga pemimpin Amanah, berkata dia hadir sebagai tanda sokongan kepada sekolah, bukan arak.