KUALA LUMPUR – Seorang pengawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang enggan dikenali memberitahu bahawa pihaknya terperangkap dalam satu permainan dengan restoran dan kedai makan yang tiada penghujung.
Menurutnya, para peniaga yang melakukan kesalahan menghalang laluan awam mempunyai ‘aset ganti’ untuk menggantikan kerusi, meja yang dirampas semasa operasi, petik The Star.
“Mereka simpan meja dan kerusi tambahan berdekatan. Bila kami rampas, mereka terus keluarkan set yang lain.
“Ia seperti permainan tidak berkesudahan kami rampas, mereka ganti,” kata pengkuatkuasa tersebut.
Antara kawasan panas yang dikenal pasti ialah Jalan Sultan dan Brickfields.
“Di Jalan Sultan, ada peniaga yang sering bermain sorok-sorok. Mereka tak bantah pun bila kami rampas perabot, tapi sebaik kami beredar, mereka keluarkan yang baru.
“Depoh kami penuh dengan meja dan kerusi mereka. Denda langsung tak beri kesan, mereka ada duit dan anggap saman seperti duit kecil,” tambahnya.
Sementara itu, seorang pegawai wanita mencadangkan agar selepas tiga saman, lesen dibatalkan atau sekurang-kurangnya dikenakan syarat tambahan seperti surat akujanji daripada MPPWP atau pejabat Ahli Parlimen.
“Kalau denda lebih murah daripada keuntungan sehari, mereka tak akan serik,” katanya lapor akhbar itu.
Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) sub-zon 4 Bukit Bintang, Cynthia Hor mencadangkan agar notis saman dipamerkan secara terbuka seperti penarafan tahap kebersihan.
Beliau juga mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi panas.
“Kos CCTV hanya sekitar RM1,500 seunit dan RM30 sebulan untuk penyelenggaraan. Ini boleh dilaksanakan jika DBKL benarkan pemasangan pada tiang sedia ada.”
Mengikut undang-undang, hanya restoran, kafe dan kedai kopi berlesen dibenarkan memohon permit tempat duduk luar yang perlu mematuhi syarat penempatan dan operasi yang ketat.
Yuran bulanan antara RM20 hingga RM50 bagi setiap meja, dengan deposit keselamatan sehingga RM10,000.
Pelanggar kali pertama akan diberi amaran lisan, manakala pelanggaran berulang dikenakan notis di bawah Seksyen 46 dan kompaun RM500 bagi setiap kesalahan.
Tahun lalu, DBKL menjalankan 233 operasi yang menyaksikan 2,314 meja, 2,592 kerusi dan 1,627 barangan lain dirampas.
Operasi terbaru DBKL menyasarkan beberapa kawasan panas termasuk Jalan Bukit Bintang, Jalan Changkat, Jalan Bulan, Jalan Alor, Jalan Padang Belia, Jalan Sultan Abdul Samad, Jalan Tun Sambanthan dan Jalan Thambipillay.
Serbuan ini menghasilkan 31 notis rampasan bagi penggunaan laluan pejalan kaki tanpa kebenaran serta 11 notis pelanggaran lain termasuk menghalang ruang awam dan tiada permit sah.
Barangan yang dirampas termasuk perabot plastik, kanopi, aksesori wanita dan peralatan tidak dibenarkan.
Tindakan penguatkuasaan dibuat di bawah Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Sementara itu, penduduk Brickfields meluahkan rasa kecewa terhadap isu yang berlarutan ini.
“Saya makan malam berhampiran Sentral Vista bila DBKL buat serbuan ke atas sebuah restoran yang letak meja di laluan pejalan kaki.
“Tapi sebaik DBKL beredar, pekerja restoran terus keluarkan meja baru. Perkara ini berlaku setiap masa. Peniaga jalanan pun sama barang kena rampas pun mereka ganti,” kata pelajar undang-undang, Vikram Raj.
Penduduk Brickfields, Dr Christopher Nicholas pula berkata sistem sedia ada gagal menangani isu ini.
“DBKL perlu kaji semula strategi penguatkuasaan dan ubah sistem pelesenan.
“Selagi denda rendah dan penguatkuasaan dapat dijangka, peniaga akan anggap ia sebagai kos operasi.
“Mesti ada tindakan tegas seperti penggantungan lesen, denda lebih berat atau senarai hitam bagi mereka yang berulang kali langgar peraturan,” katanya.
Cynthia Hor turut bersetuju dan menegaskan tiada rondaan berkala atau sistem yang kaitkan pelanggaran berulang dengan pembaharuan lesen.
“Tiada kehadiran penguat kuasa yang konsisten. Sistem sedia ada tidak cukup berkesan,” katanya.