Oleh Zihan Zari
MERLIMAU – Kejohanan 18th Malaysia Fira Roboworld Cup 2025 anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) merupakan platform terbaik untuk mengetengahkan solusi kreatif melalui projek inovasi robotik yang berimpak tinggi.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Dr. Shamsuri Abdullah berkata acara ini bakal menyaksikan pertarungan inovasi dalam bidang robotik yang mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pembukaan Kejohanan 18th Malaysia Fira Roboworld Cup 2025 di Dewan Titanium, Politeknik Merlimau (PMM) dekat sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Kanan (Akademik) JPPKK, Dr. Hj. Mohd Daud Isa; Pengarah Kanan (Kompetensi)JPPKK, Ts. Abdul Razak Sabtu; dan Pengarah PMM Lt. Kol Norizam Sekak.
Dr. Shamsuri berkata teknologi robotik dan AI tidak lagi eksklusif untuk pelajar yang cemerlang secara akademik sahaja, malah dengan pendekatan pembelajaran berasaskan amali (hands-on), pendedahan secara langsung di industri serta latihan yang disesuaikan mengikut keperluan sebenar pasaran kerja.
Katanya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka ruang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk menguasai kemahiran yang praktikal, relevan dan bernilai tinggi.
“Kejohanan ini bukti nyata bahawa kita sedang membentuk generasi pencipta dan bukan sekadar pengguna teknologi, ”tambahnya.
JPPKK dalam kenyataannya memaklumkan kejohanan ini bermula pada 21 sehingga 26 Jun ini telah memilih PMM sebagai tuan rumah serta penganjur bersama bagi edisi kali ini.
Menurutnya, kejohanan ini disertai oleh seramai 1,613 peserta terdiri daripada 439 pasukan melibatkan 124 institusi seluruh negara meliputi 64 politeknik dan kolej komuniti (POLYCC), 12 Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta serta 48 daripada pihak sekolah.
Sebanyak sembilan kategori dipertandingkan, antaranya Simurosot, AiBot, HuroCup, MyBot Youth, Robosot, Androsot, Air Drone, Business & Innovation dan Autonomous Car Challenge selain 25 sub kategori dan lima kategori sisipan.
Menurutnya lagi, kejohanan kali ini turut mendapat penyertaan daripada Indonesia, Korea, China, Bangladesh, India dan Sudan, mencerminkan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan JPPKK dalam memperkukuh jaringan kolaborasi global khususnya bidang robotik.
“Juara bagi setiap kategori yang dipertandingkan bakal diberi penghormatan untuk mewakili negara di pentas FIRA Roboworld Cup 2026 yang diadakan di Kanada, nanti.
“Pelbagai aktiviti lain turut diadakan sepanjang kejohanan ini berlangsung seperti Pertandingan RC Air, SumoRobot, Mini RC Soccer, Drone Soccer, FIRA Youth Robotics Symposium 2025, Karnival Keusahawanan dan Kelestarian Program, ”tambahnya. -SUARA.TV