Sektor Minyak dan Gas Johor Catat Pelaburan RM140 Bilion – JPDC

- Advertisement -

JOHOR BAHRU – Sektor minyak dan gas Johor mencatatkan pelaburan terkumpul sebanyak RM140 bilion sejak industri itu dimulakan secara aktif di negeri ini pada awal tahun 2000.

Pemangku Ketua Eksekutif Johor Petroleum Development Corp Bhd (JPDC) Izhar Hifnei Ismail berkata sebahagian besar daripada pelaburan itu dibuat di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) dari 2012.

Beliau berkata lokasi pelaburan lain dalam sektor itu di negeri ini termasuklah di Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Tanjung Bin.

“Setakat 31 Mac lepas, PIPC merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM124 bilion termasuk hasil daripada pelaburan Petronas dan Dialog Group.

“Jika dicampur dengan projek minyak dan gas yang dijalankan di Pasir Gudang, Tanjung Langsat dan Tanjung Bin, jumlah pelaburan yang telah direalisasikan adalah RM140 bilion.

“Dalam tempoh dua atau tiga bulan akan datang ini, kita yakin akan ada pelaburan baharu daripada syarikat asing yang melihat potensi besar PIPC di Pengerang,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah Sektor Perkhidmatan serta Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah dan Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) Mohd Yazid Jaafar.

Menurut Izhar Hifnei, pembangunan pusat penapisan minyak dan pemprosesan petrokimia di PIPC juga telah mewujudkan sebanyak 7,415 peluang pekerjaan dengan dianggarkan sebanyak 70 peratus daripada jawatan itu disandang rakyat tempatan.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata kerajaan negeri berharap program jelajah OGSE Johor akan terus diadakan pada masa depan termasuk pada skala yang lebih kecil agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat di negeri ini.

“Program ini baik untuk perkembangan industri minyak dan gas di Johor. Ia bukan sahaja menyumbang kepada sektor ekonomi negeri tetapi juga meningkatkan ekonomi rakyat menerusi peluang pekerjaan yang ditawarkan.

“Selain di PIPC, sektor sama turut dibangunkan di Maharani Gateway, Muar. Sehubungan itu, saya berharap syarikat tempatan tidak melepaskan peluang untuk melibatkan diri dan mengambil manfaat yang disediakan oleh kerajaan pusat dan negeri dalam sektor ini,” kataya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat