Oleh: Sekretariat Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia

KOTA KINABALU – Penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Negeri Sabah telah menyaksikan sambutan di luar jangkaan dengan kehadiran melebihi 24,198 Keluarga Malaysia setakat pukul 3.00 petang sepanjang tiga hari program bermula dari 20 hingga 22 Mei 2022.

Penganjuran jelajah ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan untuk menyumbang kepada rakyat melalui penganjuran program yang berfokuskan kepada kemudahan perkhidmatan secara langsung sekaligus menjamin keharmonian serta kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri semasa majlis perasmian pada 20 Mei 2022 telah mengumumkan berita gembira khususnya untuk Keluarga Malaysia Sabah. Antaranya ialah mengenai komitmen Kerajaan untuk membasmi kemiskinan melalui Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) dengan 10 lokaliti di Sabah telah dikenalpasti di bawah fasa pertama program tersebut, penubuhan sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan bagi membincangkan mengenai kepentingan Sabah, pengukuhan keselamatan perairan Sabah dan kemudahan urusan pembaharuan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas, Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

Sepanjang tempoh tiga hari penganjuran, pelbagai program menarik dan bermanfaat telah disediakan bertujuan untuk memupuk penghayatan rakyat terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia. Antaranya penerangan dan tawaran perkhidmatan langsung Kerajaan, sesi bimbingan usahawan serta pemberian bantuan dan insentif.

Sebanyak 27 reruai (booth) kaunter perkhidmatan telah mengambil bahagian pada siri JAKM kali ini melibatkan pelbagai Kementerian, Agensi dan Kerajaan Negeri. Pada masa yang sama, pelbagai kaunter perkhidmatan bergerak antaranya seperti dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ Mobile), Pusat Keluarga Bergerak (PKB), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Klinik Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia, telah disediakan kepada Keluarga Malaysia yang hadir.

Penglibatan 181 gerai jualan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan program padanan perniagaan dalam siri jelajah ini turut merancakkan aktiviti ekonomi terutamanya bagi usahawan tempatan. Sebanyak RM6.47 juta jualan dan potensi perniagaan berjaya direkodkan sehingga 22 Mei 2022, pukul 3.00 petang.

Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia telah menawarkan sebanyak 5,000 pelbagai kekosongan jawatan daripada 40 majikan. Seramai 459 orang peserta telah dipanggil menghadiri temu duga, 148 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon setakat ini 139 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan.

Jualan Keluarga Malaysia turut diadakan dengan tawaran potongan harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi barangan keperluan harian selain program seperti Zikir Berkah D’Kinabalu, pertandingan e-sukan (e-sports), sukan rakyat, Pertandingan Bintang Patriotik dan banyak lagi.

JAKM yang dicetuskan daripada ilham Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Panglima Ismail Sabri bin Yaakob adalah kesinambungan daripada kejayaan program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 9 hingga 12 Disember 2021 lalu. Negeri Sabah merupakan lokasi ketiga bagi siri JAKM selepas di Johor dan Perlis.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) adalah kementerian peneraju bagi jelajah ini yang dilaksanakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah selaku tuan rumah dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) merupakan penyelaras utama bagi kesemua 14 siri Jelajah termasuk satu penutup di Putrajaya.

Siri jelajah ini akan diteruskan di seluruh negara dengan segmen perkhidmatan yang sama bagi memenuhi keperluan rakyat dan membantu penghayatan terhadap pengertian Aspirasi Keluarga Malaysia yang menitikberatkan nilai Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.