Bersatu Ingin Bersatu, Dah Lupa Langkah Sheraton Agaknya

KUALA LUMPUR -Kebelakangan ini kedengaran pelbagai berita mengenai kemahuan parti-parti politik untuk kembali bersatu demi memastikan negara dapat diselamatkan namun, yang lucunya kebanyakan pihak yang menyuarakan pendapat sedemikian adalah juga pihak yang sama yang keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan menjatuhkan kerajaan yang dipilih rakyat pada PRU-14 lalu.

Timbalan Ketua Majlis Pimpinan Negeri Pejuang Wilayah Persekutuan, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, terbaru retorik yang dibawa bekas Perdana Menteri juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan bahawa semua parti politik mesti sedari tanpa gabungan atau penyatuan tidak mungkin UMNO/BN dapat dikalahkan.

“Harapkan pegar, pegar makan padi. Begitulah kesimpulan yang boleh dibuat mengenai Presiden Bersatu ini. Pada masa Langkah Sheraton berjalan di manakah laungan perlunya gabungan ini? Bukankah beliau sendiri secara sebelah pihak (unilateral) menarik balik sokongan Bersatu dari PH sehingga menjatuhkan kerajaan? Malah beliau naik kerusi Perdana Menteri dengan individu-individu sama yang kini ingin beliau tentang.

“Kita jangan lupa Langkah Sheraton juga telah memperlihat bagaimana ahli politik untuk kekal berkuasa, kekal pangkat, kekal jawatan dan untuk motif-motif tersendiri sanggup membelakangkan mandat dan undi Rakyat. Pada masa itu adakah mereka memikir gerakan itu akan memberi nyawa semula pada segelintir dalam UMNO yang kini telah kembali ke persada kuasa? katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas beliau, bulan Mac 2020 nampak seperti sudah lama berlalu. Tetapi ianya luka yang masih baru. Rakyat tidak harus lupa itu. Rakyat dan pengundi juga tidak harus lupa bahawa ada pemimpin-pemimpin Pejuang dan juga ahli-ahli Pejuang yang tidak bersetuju dan melawan gabungan Langkah Sheraton.

“Pengerusi Pejuang, Presiden Pejuang, Timbalan Presiden Pejuang, Setiausaha Agung Pejuang, Bendahari Pejuang malah ada juga ahli-ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang telah menjadi mangsa dek kerana tidak sehaluan dengan Langkah Sheraton. Pertahan mandat Rakyat tetapi dihukum keluar dari kerajaan.

“Bersatu kemudiannya bergabung dengan UMNO, PAS, MCA, MIC dan GPS dari Sarawak membentuk kerajaan. Dinamakan Perikatan Nasional (PN) tetapi ada pula ikatan sebelum itu antara UMNO dan PAS dikenali sebagai Muafakat Nasional (MN). Label semata-mata label, yang pasti, ianya semata-mata menghalalkan Ahli-Ahli Parlimen yang tolak mandat rakyat untuk berada di Putrajaya.

” Ia hanya untuk kelangsungan berkuasa. Supaya mereka dapat gaji besar, dapat segala kemudahan dan paling penting sekali agar dapat menggunakan media arus perdana supaya rakyat dapat dikelirukan.
Lalu naratif baru dimainkan iaitu kerajaan di bawah Abah akan dapat membawa Malaysia harungi Covid-19. Lockdown dan kawal. Maka Abah berdoa, Rakyat tadah tangan dan turut ‘amin’ bersama. Cuma ahli politik lain sedikit. Mereka kebal boleh berlegar, boleh buat jamuan, boleh kembali luar negara tanpa perlu kuarantin. Rakyat jangan lupa “double-standard” ini,” ujarnya.

Kata beliau, selama 17 bulan sahaja tiba-tiba Muhyiddin hilang kuasa. Beliau mula menyatakan pengkhianatan tetapi Langkah Sheraton bukan pengkhianatan? Dikhianati oleh puak sama yang mengkhianat mandat rakyat.

Rafique menyeru, maka yang perlu sekarang ini ialah kesatuan dalam menolak pemimpinpemimpin yang mendapat keuntungan dari Langkah Sheraton.

“Saya nyatakan pemimpin kerana individu-individu yang harus diangkat ke Parlimen ini mestilah yang benar-benar layak dan tidak khianat.

“Rakyat harus meneliti calon-calon atas individu itu sendiri dan tidak sematamata kepada fahaman politiknya. Rakyat mesti bijak memilih. Rakyat mesti juga berani keluar lagi semasa PRU untuk buat sekalian kalinya melakukan perubahan.

“Pilihan untuk bergabung atau tidak terletak pada mana-mana pihak yang ingin bertanding semasa pilihanraya. Itu keputusan yang sehingga kini belum kelihatan jelas,” tegsanya.

Namun kata Rafique, ini tidak harus dijadikan kayu pengukur oleh rakyat. Pilihan pengundi mestilah berdasarkan kepada calon itu secara individu dan yang mementingkan kebajikan rakyat.

“Justeru, rakyat adalah King. Bukan ‘raja’ seperti fahaman Najib Razak tetapi ‘raja’ dalam sistem demokrasi iaitu memilih yang benar-benar layak, berprinsip dan berkredibiliti,” katanya.