PKPD Di Taman Abaka Di Tawau Bermula 25 Mei Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Taman Abaka, Ladang Table, Tawau, Sabah berkuat kuasa dari Selasa (25 Mei) hingga 7 Jun ini selepas berlaku peningkatan kes yang amat ketara dalam masa singkat di kawasan itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga kini, terdapat 37 kes positif COVID-19 direkodkan hasil 135 ujian saringan yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) di lokaliti itu.

“Pelaksanaan PKPD membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes supaya dapat diasingkan secepat mungkin sekali gus memutuskan rantaian jangkitan di kawasan ladang tersebut,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PKPD di Kampung Keramat, Semporna, Sabah pula ditamatkan esok selepas trend kes menunjukkan penurunan dan kluster adalah terkawal.

Ismail Sabri juga berkata 644 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP semalam dengan 614 dikompaun manakala 30 lagi direman.

Beliau berkata Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan 70,849 pemeriksaan semalam termasuk di pasar raya, restoran dan kilang bagi memantau serta menguatkuasakan pematuhan SOP.

Katanya usaha mencegah dan mengawal penyebaran jangkitan COVID-19 masih memerlukan kombinasi antara Program Tindakan Kesihatan Awam oleh KKM dan tindakan penguatkuasaan.

Ismail Sabri berkata memandangkan kes harian masih membimbangkan, kombinasi kedua-dua langkah adalah penting untuk memastikan orang ramai tidak bertindak sambil lewa sekali gus membantutkan usaha mengurangkan kes.

Beliau berkata meskipun ada kajian menunjukkan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat Malaysia masih tinggi, proses penguatkuasaan perlu diperketat atau dipertingkat untuk menyedarkan orang ramai.

“Apa yang kerajaan lakukan sekarang iaitu menambah sekatan pergerakan adalah untuk menyelamatkan nyawa orang ramai walaupun ada sebilangan kecil belum dapat menerimanya,” katanya.

Sekatan pergerakan tambahan bagi mengetatkan SOP PKP 3.0 melibatkan arahan bekerja dari rumah (BDR) serta mengehadkan waktu operasi perniagaan yang akan berkuat kuasa pada 25 Mei bagi seluruh Semenanjung dan Labuan. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat