TAPAH – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, menolak dakwaan pihak pembangkang yang cuba melabel Kerajaan Perpaduan sebagai gabungan UMNO dan DAP semata-mata, dengan menyatakan bahawa kerajaan hari ini terbentuk hasil kerjasama 19 parti politik.
Menurut Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian, dakwaan yang menyebut Kerajaan Perpaduan sebagai ‘UMDap’ adalah retorik politik sempit yang cuba memanipulasi persepsi rakyat.
“Saya nak maklumkan bahawa kerajaan ini bukanlah kerajaan ‘UMDap’. Kerajaan ini adalah kerajaan 19 parti. Hubungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH). Kita berhubungan dengan 19 parti,” katanya sebagaimana dipetik oleh UMNO Online.
Beliau menjelaskan, tanpa penyertaan pelbagai gabungan dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak, tidak mungkin Kerajaan Perpaduan dapat dibentuk kerana jumlah kerusi yang diperlukan untuk majoriti tidak mencukupi sekiranya hanya dua parti bekerjasama.
“Kalau dua parti, ada lebih kurang 90 kerusi sahaja. Kita nak bentuk kerajaan perlu 112. Kerajaan 19 parti ini ada 153 kerusi. Ini bukan kerajaan dua parti, ini kerajaan 19 parti,” tegas beliau lagi.
Ahmad turut menyenaraikan parti-parti yang menyumbang kepada penubuhan kerajaan hari ini termasuk BN, PKR, Amanah, GPS, GRS, Warisan, PBM dan KDM.
Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), apabila tiada mana-mana gabungan yang memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
Seruan YDPA agar parti-parti utama bekerjasama diterima dengan penuh tanggungjawab oleh gabungan politik di seluruh negara, lantas membawa kepada pembentukan satu kerajaan yang mengutamakan kestabilan dan keharmonian.