KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa banyak perkara pelik yang ‘membanggakan’ berlaku di negara ini.
Bekas Perdana Menteri itu menyenaraikan beberapa perkara yang dianggap pelik baginya bagaimanapun berharap ia tidak ditafsir sebagai ‘contempt of court’.
“Antara hal pelik ialah ada orang kena cukai ratusan juta tak bayar tak apa; ada duit yang dicuri bagi balik separuh -okey.
“Ada yang tiba-tiba dimasuk lokap tanpa caj bahkan dilepas tanpa sebab, dirampas buku dagang dan diberi balik tanpa sebab,” ujarnya.
Selain itu, Dr Mahathir memberitahu ada orang yang sedang dibicara ditarik balik caj.
“Ada orang yang diketahui melakukan pelbagai jenayah menjadi pemegang jawatan tinggi malah ada juga banyak dadah dan duit dirampas tetapi tidak ada tangkapan.
“Ada sedikit dadah dijumpa dalam kereta. Pemilik kereta kena tahan. Akan kena hukum gantung.
“Ada organised crime dalam Malaysia. Tak dijelas apa crime yang dilaku. Siapa yang dibunuh oleh mereka. Bilakah mereka samun?
“Ada kes organisasi yang mengada kursus liwat. Wow! Ramai yang kena tahan berbulan tanpa caj. Tidak dihadap ke mahkamah. Untuk hukum tak perlu hukum, tak perlu mahkamah, tak perlu perbicaraan.
“Sesungguhnya banyak lagi benda yang pelik yang terdapat di negara tercinta ini. Ia mengagumkan, membanggakan. Hidup Malaysia,” bidas beliau.