CYBERJAYA – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tampil memberikan penjelasan susulan kritikan netizen berhubung Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang didakwa berlangsung secara mewah serta melibatkan kehadiran artis dan selebriti terkenal.
Menurut Fahmi, terdapat situasi di mana artis hadir ke majlis anjuran kerajaan tanpa menerima sebarang bayaran, bergantung kepada konteks dan kesediaan pihak terlibat.
“Mengenai jemputan, kadangkala artis-artis yang hadir tidak menggunakan bayaran yang nominal. Dalam pengalaman Kementerian Komunikasi sendiri pada tahun lalu bila kita melakukan bersama dengan KPKT, beberapa artis telah menyatakan bahawa mereka akan menyampaikan persembahan dan tidak menggunakan apa-apa bayaran,” katanya.
Fahmi menegaskan bahawa perkara tersebut adalah berdasarkan pengalamannya sendiri semasa mengendalikan majlis sambutan bersama Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) tahun lalu.
Bagi tahun ini, katanya, Kementerian Komunikasi telah memanfaatkan bakat artis veteran dan beberapa individu lain untuk majlis sambutan yang dianjurkan, namun beliau menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai majlis sambutan yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Itu adalah Kementerian Komunikasi. Saya tak ada maklumat. Boleh rujuk dengan Kementerian Kesihatan,” ujar beliau.
Kenyataan ini hadir selepas pelbagai pihak di media sosial mempersoalkan perbelanjaan dan keutamaan KKM dalam menganjurkan majlis sambutan yang dilihat meriah di tengah-tengah kekangan ekonomi dan cabaran sektor kesihatan awam.