Johor salur bantuan khas bencana banjir RM3,000 kepada 3,749 keluarga

- Advertisement -

Oleh Zihan Zari

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor amat berdukacita dengan bencana banjir yang melanda dan memberi kesan kepada 13,089 orang mangsa daripada 3,749 keluarga, dengan pembukaan sebanyak 100 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam daerah yang terjejas.

Menteri Besarnya, Dato ’ Onn Hafiz Ghazi berkata kerajaan negeri bersetuju untuk menyalurkan Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Gelombang Kelima berjumlah RM11,247,000.

Beliau berkata sebanyak RM3,000 akan disalurkan sebelum hari raya Aidilfitri kepada 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di PPS.

Bantuan ini merupakan hasil kerjasama antara kerajaan negeri, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ).

“Kerajaan negeri turut prihatin terhadap kesan bencana ini ke atas para peniaga Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri yang terjejas di kawasan-kawasan yang dikenal pasti.

“Oleh itu, bagi meringankan beban mereka, kerajaan negeri mengumumkan bantuan sebanyak RM500 bagi setiap peniaga yang terjejas di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).

“Bantuan ini akan memanfaatkan sebanyak 441 peniaga di dua PBT yang terlibat,”katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, senarai lokasi dan jumlah peniaga yang menerima bantuan antaranya, Bazar Tebing Dato’ Onn melibatkan 48 peniaga; Bazar Jalan Pandan Ria (3 – 30 peniaga) ; Bazar Jalan Mata Kucing, Kampung Pasir (66 peniaga) ; Bazar Pesiaran Dahlia (150 peniaga) ; dan Bazar Aidilfitri MDKT (147 peniaga).

Menurutnya lagi, kerajaan negeri bersetuju melalui 9 PBT untuk memberikan pengecualian kepada peniaga bazar melibatkan Bazar Aidilfitri (pengecualian semua caj kecuali sewaan) dan Bazar Ramadan (pengecualian semua caj yang dikenakan oleh PBT).

Antara PBT yang terlibat, iaitu MBJB; Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP); Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG); Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP); Majlis Perbandaran Kluang (MPK) ; Majlis Perbandaran Kulai (MPKu); Majlis Perbandaran Pontian (MPPn); Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR); dan MDKT.

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 9,839 peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri di 180 lokasi seluruh negeri ini.

“Sebanyak 6 buah masjid, 17 surau, dan 43 buah institusi pendidikan yang merangkumi sekolah agama, sekolah rendah, sekolah menengah, serta kolej vokasional yang terjejas akibat banjir juga akan menerima bantuan baik pulih daripada kerajaan negeri, ”katanya lagi.

“Bagi mangsa banjir yang terjejas tetapi tidak mendaftar di PPS masih berpeluang untuk mengemukakan rayuan bagi pertimbangan bantuan.

“Permohonan boleh dibuat di Pejabat Daerah yang terlibat iaitu Johor Bahru, Kulai, Kota Tinggi, Pontian, Kluang, dan Batu Pahat sehingga akhir April ini,”tambahnya.

“Kerajaan negeri komited untuk terus berusaha sedaya upaya dalam membantu mereka yang terkesan oleh bencana ini, demi kesejahteraan dan kestabilan hidup semua.

“Insya-Allah, semoga segala bantuan ini dapat meringankan beban mangsa banjir serta memberi sinar harapan untuk mereka bangkit semula,”tambahnya. – SUARA.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat