Kerajaan Akan Terus Martabat Bahasa Melayu Diperingkat Antarabangsa – PM

- Advertisement -

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub menegaskan bahawa kerajaan Malaysia dibawah pimpinan beliau akan terus memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Menurut Perdana Menteri, bahasa Melayu mempunyai keunikan dan kelebihannya tersendiri, khususnya dalam kalangan negara ASEAN. Selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei Darussalam, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Perdana Menteri menyatakan perkara ini dalam jawapan lisan kepada soalan Senator Dato’ Isa Ab. Hamid di Dewan Negara pagi tadi.

Dedah Perdana Menteri, pada masa ini, hanya 4 daripada 10 buah negara ASEAN yang menggunakan bahasa Inggeris dalam acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa. Manakala, 6 buah negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan.

Justeru, kata Perdana Menteri, “Saya berkeyakinan bahawa suatu hari nanti, bahasa Melayu boleh dijadikan sebagai salah satu bahasa rasmi ASEAN. Perkara ini mungkin boleh dibincangkan dengan pemimpin ASEAN pada masa hadapan.

Perdana Menteri turut memaklumkan Dewan Negara bahawa beliau telah mula meminta supaya Kementerian Luar Negeri menyediakan nota percakapan serta dokumen berkaitan dalam bahasa Melayu untuk rujukannya apabila mengadakan lawatan rasmi ke luar negara. Ini adalah sebagai langkah awal dalam memartabatkan bahasa Melayu, dimana beliau sendiri telah menggunakan bahasa Melayu semasa lawatan Rasminya ke Republik Indonesia, Negara Brunei Darussalam, Kemboja dan Thailand baru-baru ini.

Terkini, semasa lawatan ke Vietnam pada 2 hari lepas, beliau turut menggunakan bahasa Melayu.

Tambah Perdana Menteri, “Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Usaha memartabatkan bahasa Melayu ini juga selari dengan salah satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang telah dilancarkan oleh Kerajaan pada 7 Disember 2021, iaitu Diplomasi Kebudayaan yang turut merangkumi elemen mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia”.

Oleh yang demikian katanya, usaha ini akan diteruskan dalam manamana pertemuan/mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian.

Seiring dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu di persada antarabangsa, Perdana Menteri memberitahu Dewan Negara bahawa Kerajaan akan meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka 1959 (DBP) sebagai langkah memartabatkan Bahasa Melayu, sekaligus menjadikan ia sebagai bahasa ilmu. Pindaan ini perlu dilakukan berikutan Akta DBP sedia ada tidak memberi kuasa kepada agensi kerajaan itu untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan bahasa.

Pindaan ini kata Perdana Menteri lagi akan membolehkan pihak DBP mengambil tindakan terhadap mana-mana pelanggaran bahasa Melayu di semua peringkat sama ada Daerah, Negeri mahupun Persekutuan.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat