Muhyiddin nafi dakwaan terlibat salah laku pemberian kontrak Spanco

- Advertisement -

CYBERJAYA – Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terlibat salah laku dalam isu pemberian kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco).

Menerusi satu kenyataan di Facebook sebentar tadi, Muhyiddin berkata beliau membuat penafian itu kerana wujud tohmahan terhadapnya berhubung perkara berkenaan yang kini berlegar di media massa dan media sosial tanpa sebarang butiran lengkap.

“Samalah seperti tuduhan sebelum ini kononnya saya menyeleweng wang negara bernilai ratusan billion ringgit yang sehingga kini tidak dapat dibuktikan oleh mereka yang menuduh saya,” katanya.

Menurut Muhyiddin lagi, tuduhan dilemparkan terhadapnya adalah sebahagian daripada siri pembunuhan karakter yang dibuat musuh politiknya.

“Berhubung kontrak Spanco, kerajaan sepatutnya mendedahkan kenapa surat niat (LOI) yang diberikan kepada sebuah syarikat lain oleh kerajaan Pakatan Harapan sebelum itu dibatalkan.

“Saya percaya maklumat mengenainya ada di Kementerian Kewangan. Perlu didedahkan juga ialah tarikh bila kontrak tersebut diberikan kepada Spanco.

“Janganlah membuat tuduhan melulu terhadap saya. Sebagai perdana menteri antara Mac 2020 dan Ogos 2021, saya tidak terlibat dalam sebarang pemberian kontrak kerajaan yang diuruskan oleh Kementerian Kewangan.

“Jangan samakan kedudukan saya dengan perdana menteri ke-10 yang juga merupakan menteri kewangan. Saya tahu kedudukan saya,” katanya.

Terdahulu, semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan sudah merakam percakapan bekas menteri kewangan yang terbabit dalam kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco bagi tempoh 2020-2021.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dipetik berkata, kes membabitkan Spanco masih dalam siasatan dan akaun terbabit masih dibekukan.

“Kita sudah merakam keterangan bekas menteri kewangan namun bekas perdana menteri ketika itu belum dipanggil memberi keterangan,” katanya.

Untuk rekod, Spanco ialah penyedia penyelesaian pengurusan kenderaan konsesi bebas terbesar di negara ini, yang ditubuhkan pada 1988.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat