Jangan taasub dengan dakwaan seseorang itu daripada nasab Rasulullah – Mufti

- Advertisement -

GEORGETOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor meminta umat Islam supaya tidak terlalu taasub dengan dakwaan seseorang itu daripada nasab Rasullullah SAW.

Beliau juga menasihatkan mereka supaya menyelidik terlebih dahulu latar belakang seseorang ulama atau kumpulannya supaya tidak mudah menjadi mangsa tipu individu atau kumpulan yang berkepentingan, sambil mengingatkan keturunan mulia tidak memberi sebarang manfaat kepada seseorang, jika dia seorang yang tidak taat kepada hukum dan ajaran agama seperti yang disampaikan oleh Rasulullah.

“Saya menyokong nasihat Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar) supaya masyarakat mengelak daripada sikap taasub secara buta tuli kepada seseorang yang mendakwa sebagai keturunan Nabi Muhammad.

“Sikap taasub sedemikian menyebabkan fikiran seseorang tertutup daripada melihat kebenaran,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau kegiatan seorang lelaki mendakwa warganegara Maghribi yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Amin yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.

Mengulas lanjut Wan Salim berkata, kira-kira dua tahun lalu lelaki yang digelar Mawla al-Amin itu pernah dibawa oleh pengikutnya ke Pulau Pinang dan beliau turut dijemput untuk hadir bersama dalam satu majlis selawat nabi.

Pada mulanya beliau menyatakan persetujuan untuk hadir ke majlis tersebut, namun kemudian membatalkannya setelah meragui kesahihan dia daripada keturunan Rasulullah berdasarkan maklumat diperoleh dari pelajar Malaysia di Maghribi yang tahu latar belakang individu berkenaan.

“Seseorang yang mengaku dirinya mempunyai nasab tersebut perlu diminta supaya mengemuka dokumen yang sah daripada pihak berkuasa di negaranya seperti mahkamah, majlis agama Islam, atau persatuan ulama yang dikenali umum,” katanya. – Bernama

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat