KUALA LUMPUR, — Perikatan Nasional (PN) dijangka melakukan rombakan besar terhadap struktur pengurusan tertingginya dengan menggugurkan jawatan Pengerusi dan memperkenalkan sistem dua lapis kepimpinan bagi memperkemas hala tuju politik serta pengurusan gerak kerja parti menjelang pilihan raya akan datang.
Menurut sumber dalaman gabungan itu, struktur baharu berkenaan akan memisahkan peranan penentuan dasar dan strategi politik daripada urusan pentadbiran serta operasi pilihan raya.
Di bawah cadangan tersebut, PN akan menubuhkan Majlis Presiden yang dianggotai oleh presiden-presiden parti komponen.
Majlis ini akan dipengerusikan oleh salah seorang Presiden parti komponen PN dan bertanggungjawab menetapkan hala tuju gabungan, dasar utama serta membuat keputusan berkaitan pemilihan calon pilihan raya di peringkat Persekutuan dan negeri.
Sumber memberitahu SuaraTV, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dijangka mencadangkan Pengerusi Majlis Presiden PN dipegang oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, satu lagi badan baharu iaitu Majlis Eksekutif akan diwujudkan bagi menguruskan pentadbiran harian gabungan, termasuk pengurusan parti, penyelarasan kempen dan pelaksanaan gerak kerja pilihan raya.
Majlis ini dicadangkan diketuai oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang berfungsi sebagai pentadbir utama gabungan, terpisah daripada kepimpinan politik tertinggi.
Sumber turut memaklumkan bahawa Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dijangka menjadi calon utama untuk mengisi jawatan Ketua Pegawai Eksekutif PN sekiranya struktur baharu itu dimuktamadkan.
Bagaimanapun, sumber dalaman PAS menegaskan bahawa pelantikan tersebut masih belum mendapat persetujuan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang. Malah, cadangan berkenaan difahamkan belum dibincangkan secara rasmi dalam Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, iaitu badan tertinggi parti yang membuat keputusan pentadbiran dan politik.
“Setakat ini ia masih di peringkat idea dan perbincangan tidak rasmi. Tiada keputusan dibuat, dan Presiden PAS juga belum memberi sebarang lampu hijau,” kata sumber berkenaan.
Perubahan ini dibuat sebagai respon kepada permohonan peletakan jawatan Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN pada 1 Januari lalu.
Bulan lepas Muhyiddin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN setelah diserang oleh Ketua Pemuda PAS dan beberapa pemimpin kanan PAS yang lain. PN telah membentuk jawatankuasa kecil di bawah pejabat Setiausaha Eksekutif bagi membuat pindaan Perlembagaan.



