KUALA LUMPUR – Bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd. Nizam Jaafar dibebaskan selepas membayar jaminan RM180,000 bagi tiga pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang berjumlah RM752,481.90 dan satu pertuduhan pecah amanah RM3 juta.
Hari ini, bagi dua pertuduhan pertama, Nizam yang pada ketika itu merupakan Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyalahgunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM552,481.90 bagi Bungkusan Barang Hari Raya Bagi Tahun 2025.
Tertuduh didakwa ketika mempengerusikan Jawatankuasa Eksekutif Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) telah melantik lima syarikat bagi kerja-kerja pembekalan kain pelikat, kain batik, ‘multifunctional folding pliers’, tuala mandi dan beg galas kepada TKAT yang mana beliau mempunyai kepentingan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 24 Jun 2024 di Kementerian Pertahanan, 15, Jalan Padang Tembak, lapor Utusan pada Jumaat.
Bagi pertuduhan ketiga, pada 4 Oktober 2024, di tempat sama, Nizam ketika memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan (TKAT) didakwa pecah amanah wang RM3 juta milik pertubuhan itu dengan membuat pelaburan tambahan dalam syarikat Precious Amber International Berhad tanpa mendapat kelulusan jawatankuasa itu.
Bagi pertuduhan keempat, Nizam sebagai PAT ATM telah menerima untuk dirinya wang berjumlah RM200,000 tanpa balasan daripada seorang pengarah syarikat yang diketahui mungkin ada kena-mengena dalam urusan yang dijalankan olehnya.



