KUALA LUMPUR – Dalam usaha untuk menarik kepercayaan lebih ramai pelabur ke Malaysia Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) konsisten dalam usaha mempercepatkan dan memantapkan lagi fasilitasi perdagangan merentasi sempadan.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, dengan adanya keseimbangan antara fungsi mengutip hasil dan fasilitasi perdagangan, pembangunan ekonomi akan menjadi lebih makmur.
“JKDM juga sentiasa giat memberikan kefahaman dan pengetahuan kepada pihak industri melalui program-program seperti ‘outreach’, ‘handholding’ dan khidmat nasihat dari semasa ke semasa.
“JKDM juga turut memberi fokus ke arah memudahcara perdagangan dengan mengadaptasi transformasi teknologi melalui
pembangunan sistem seperti, MyExcise Fasa 2, CuBIC, Sistem MySawit, SDSIE dan i-PATUH,” katanya pada samabutan Hari Kastam Sedunia kali ke-42 di Putrajaya pada Selasa.
Beliau menambah, seiring dengan dasar dan inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan antara negara perdagangan yang berdaya saing, JKDM sentiasa bersedia memenuhi komitmen perjanjian perdagangan antarabangsa seperti layanan keutamaan perdagangan (preferential trade) serta mematuhi prinsip ‘Rules of Origin’ (ROO).
“Antara kerjasama antarabangsa terkini yang dimeterai adalah ‘Mutual Recognition Arrangement – Authorised Economic Operator’ (MRA-AEO) yang baru ditandatangani pada 18 Januari 2024 antara JKDM dan Kastam Singapura, bagi melancarkan prosedur perkastaman dan meningkatkan lagi fasilitasi perdagangan di antara kedua-dua negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anis Rizana mengimbas kembali pencapaian cemerlang pada tahun 2023, beliau merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh warga JKDM atas kejayaan yang besar dalam mencapai kutipan hasil sebanyak RM55.1 bilion bagi tahun 2023, melepasi sasaran RM53.5 bilion, dengan lebihan sebanyak RM1.6 bilion atau 3 peratus.
“Saya menghargai sokongan padu dan sangat berbangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh semua warga JKDM yang sentiasa bekerja keras sehingga ke hujung tahun 2023.
“Kita telah membuktikan bahawa Jabatan ini sentiasa komited dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Tahniah sekali lagi kepada semua warga JKDM,” ucapnya.
Bagi tahun 2024 pula,Anis Rizana memaklumkan Kementerian Kewangan Malaysia telah menetapkan sasaran kutipan JKDM sebanyak RM56 bilion.
“Bermula awal tahun ini, JKDM telah menggerakkan jentera dalam memastikan sasaran kutipan ini juga turut dapat dicapai.
“Sebagaimana kejayaan yang dicapai pada tahun lepas, saya yakin dan percaya kita mampu mengulangi kejayaan bagi tahun 2024 ini,” katanya.
Perkembangan lain, Anis Rizana memberitahu sebagai sebuah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan undang-undang dan mengawal sempadan negara pula, JKDM juga berjaya membendung sebanyak 7,771 kes penyeludupan pada tahun 2023 yang melibatkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM567 juta.
“Sebagai rekod, kes rampasan tertinggi yang pernah dicatatkan dalam tahun 2023 adalah melibatkan kes rampasan dadah jenis Fentanyl seberat 807.9 kilogram yang bernilai sebanyak RM44.4 juta,” kata beliau.