CGS-CIMB Jangka Inflasi Naik Kepada 1.6 Peratus Tahun Ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR, 22 Jan — CGS-CIMB Securities Sdn Bhd menjangka kadar inflasi akan naik kepada 1.6 peratus pada 2021, didorong oleh kenaikan harga komoditi.

Dalam nota penyelidikan hari ini, firma broker itu berkata harga makanan dan minyak yang lebih tinggi telah menyebabkan Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia meningkat sebanyak 0.5 peratus bulan ke bulan pada Disember 2020, membawa kepada deflasi yang lebih rendah sebanyak 1.4 peratus tahun ke tahun.

Tidak termasuk makanan segar dan barangan yang dikawal, inflasi teras kekal pada 0.7 peratus tahun ke tahun dan tidak berubah dari segi bulan ke bulan pada Disember 2020.

Bagi tahun penuh, IHP susut 1.2 peratus tahun ke tahun, deflasi tahunan pertama sejak 1969.

“Barang yang tidak tahan lama mencatatkan deflasi yang lebih kecil pada bulan lepas dalam situasi harga daging, susu, sayur-sayuran dan minyak masak yang mahal, antara barang makanan lain, berikutan cuaca buruk.

Pemulihan harga minyak mentah yang berterusan mengurangkan penurunan indeks bahan api dan pelincir.

“Ini adalah trend yang kami menjangka akan berterusan pada 2021, (justeru) membawa kepada pemulihan dalam inflasi keseluruhan tahunan kepada +1.6 peratus tahun ke tahun,” katanya.

CGS-CIMB menjangka inflasi bagi barang tahan lama akan lebih rendah kepada 2.3 peratus tahun ke tahun berbanding 2.4 peratus tahun ke tahun pada November 2020, dan kadar inflasi untuk barangan dan perkhidmatan separa tahan lama kekal stabil.

Mengenai risiko terhadap prospek ekonomi Malaysia, dianggarkan pengurangan sebanyak 0.7 peratus mata dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk setiap dua minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa.

Selain itu, ia yakin terdapat peluang yang baik untuk kelonggaran dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia.

“Kami mengunjurkan pengurangan 25 mata asas dalam Kadar Dasar Semalaman kepada 1.50 peratus pada separuh pertama tahun ini,” katanya.

– BERNAMA

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat