KUANTAN: Naib Presiden UMNO, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, cadangan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan masih tidak sesuai.
Tegasnya, ia bakal mengundang lebih mudarat dari segi perkhidmatan, kewangan mahupun polemik politik.
Jelas beliau lagi, ia juga bakal menimbulkan ketidakselesaan antara kaum jika tidak ditadbir urus dengan baik.
Menurutnya lagi, fokus perkhidmatan rakyat lebih utama buat masa sekarang dan Itulah agenda paling mustahak bagi sesebuah kerajaan tempatan.
“Saya meneliti pandangan menarik pelbagai pihak berkenaan cadangan bagi mewujudkan semula pilihan raya kerajaan tempatan.
“Secara ringkasnya, hasrat untuk mengadakan semula pilihan raya kerajaan tempatan masih tidak sesuai dan bakal mengundang lebih mudarat baik dari segi perkhidmatan, kewangan mahupun polemik politik.
“Ia juga bakal menimbulkan ketidakselesaan antara kaum jika tidak ditadbir urus dengan baik,” katanya menerusi kenyataan Facebooknya, sebentar tadi.
Ujarnya lagi, beliau berpendirian teguh, apa jua yang hendak dilakukan, komitmen paling tinggi harus diberi dalam mengutamakan perkhidmatan terbaik untuk rakyat. Itulah agenda paling mustahak bagi sesebuah kerajaan tempatan.
“Sistem yang diguna pakai pada masa sekarang masih sesuai dengan kehendak semasa. Yang Dipertua atau Datuk Bandar adalah kebiasaanya dari kalangan penjawat awam yang senior, berpengalaman dan neutral dari segi kecenderungan politik.
“Ahli-ahli Majlis pula adalah lantikan Kerajaan Negeri, yang sudah semestinya juga membawa hasrat dan agenda yang sama dengan kerajaan memerintah.
“Jika ada kepincangan, saya fikir itu adalah berkaitan dengan profesionalisme dan prestasi individu, bukan kepincangan sistem sedia ada,” katanya.
Kata Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang, beliau risau jika kita memasukkan elemen politik (pilihan raya) di dalam sistem ini.
Jelasnya, kelak akan berlaku pemilihan yang bukan berdasarkan prestasi, tetapi persepsi.
“Saya amat risau jika kita memasukkan elemen politik (pilihan raya) di dalam sistem ini, ia akan lebih membawa mudarat. Boleh jadi fokus terhadap politik adalah lebih daripada fokus perkhidmatan kepada rakyat.
“Mungkin juga, kelak akan berlaku pemilihan yang bukan berdasarkan prestasi, tetapi persepsi. Dan itu lah yang berlaku pada masa kini, yang dipilih itu kadang-kala atas dasar popular, tetapi tidak boleh buat kerja.
“Kita juga harus menilai dari sudut implikasi kewangan. Jutaan ringgit bakal dibelanjakan untuk tujuan pilihan raya kerajaan tempatan. Mengambil iktibar apa yang berlaku di Parlimen Kemaman, RM3.5 juta terpaksa dibelanjakan sekali lagi untuk adakan pilihan raya kerana salah laku pemimpin di kawasan tersebut,
“Ini boleh berlaku dalam pilihan raya kerajaan tempatan. Wang tersebut lebih baik digunakan untuk kebajikan rakyat,” katanya lagi.
Beliau juga menasihatkan emua pihak agar lebih berhati-hati dalam memberi pandangan, terutamanya terhadap isu-isu yang sensitif.
“Saya melihat kadang-kala pandangan-pandangan itu sengaja dibuat untuk menimbulkan provokasi, tetapi berselindung disebalik nama demokrasi.
“Benar, ia adalah satu proses demokrasi yang baik. Namun ingatlah, sejauh manapun kita bersetuju dengan sistem demokrasi ini, jangan lah sampai kita terkorban hanya semata-mata ‘atas nama demokrasi’,” katanya.-SUARATV