Ranhill, KPLB Sediakan Dua Loji Rawatan Air Bersih Mudah Alih Buat Rakyat Selangor Terjejas Banjir

KUALA LUMPUR – Ranhill Utilities Berhad melalui kerjasama strategik bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta beberapa agensi kerajaan lain telah menyediakan dua unit MobiCell Super Efficient Mobile dan Compact Water Treatment Plant atau loji rawatan air bersih mudah alih untuk digunakan kepada pengguna terjejas banjir di Selangor.

Ranhill dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan dua unit loji rawatan air bersih mudah alih bersaiz 20’ (lebar) dan 40’ (panjang) ini bertindak untuk memproses air bersih untuk membantu menyediakan sumber alternatif air bersih terawat bagi kegunaan mangsa banjir.

Kata Ranhill, loji rawatan air bersih mudah alih ini ditempatkan di sekitar kawasan Hulu Langat berikutan kawasan ini direkodkan antara kawasan yang terjejas teruk dan memberi kesan besar kepada ramai penduduk ekoran kejadian bencana banjir baru-baru ini.

“Selain itu juga, loji rawatan air bersih mudah alih ini berupaya untuk menghasilkan sebanyak 5000 liter air bersih terawat dalam masa satu jam dan secara tidak langsung ianya dapat memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 isi rumah sehari untuk akses air bersih.

“Sistem yang digunakan oleh loji rawatan air bersih mudah alih ini adalah sama seperti sistem rawatan air bersih di loji rawatan air dan oleh kerana itu kualiti air bersih terawat yang dihasilkan adalah menyamai kualiti standard air minum di Malaysia yang menjamin keselamatan bagi kegunaan mangsa-mangsa banjir,” jelas Ranhill.

Ranhill memberitahu lagi, ini merupakan satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Ranhill dan kerajaan Persekutuan dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan akses air bersih untuk digunakan dalam keadaan yang sukar ini.