KUALA LUMPUR – Tidak semua produk keluaran barat mampu diboikot sepenuhnya, dan keputusan memboikot dibuat atas kesedaran setiap individu, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.
Ahmad Fadhli Shaari semalam menempelak Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin, yang menyindir kerajaan pimpinan PAS di Kelantan berhubung isu boikot produk syarikat yang menyokong Israel.
“Dalam isu Palestin, dia (Zhemin) tanya kenapa Kerajaan Kelantan tak nak boikot Mercedes Benz yang sokong Israel?
“Kita kata bahawa boikot ini kita buat dengan rasa hati kita dan dilaksanakan dengan kesedaran.
“Ada perkara yang kita tidak mampu nak boikot sebagai contoh penggunaan Iphone, Facebook dan sebagainya,” katanya di Dewan Rakyat pada Selasa, lapor Awani.
Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024) peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Semalam, Zhemin mempersoalkan Kerajaan Kelantan yang masih menggunakan kereta mewah, Mercedes Benz yang turut menyumbang kepada ekonomi Israel.
Pada 2020, Kerajaan Kelantan mengakui membeli 14 kereta mewah Mercedes Benz untuk kenderaan rasmi pimpinan kerajaan negeri termasuk Menteri Besar dan exconya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli menegaskan, Zhemin tidak sepatutnya memperlekehkan inisiatif individu-individu yang mengambil pendirian untuk memboikot produk-produk tertentu.
“Jangan perlekehkan orang yang nak laksanakan boikot ini kepada barangan yang dikeluarkan syarikat-syarikat menyokong Israel.
“Kita boleh buat satu, kita buat satu… Tak boleh buat semua, jangan tinggal semua dan perlekehkan,” ujar beliau.