KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) dinasihatkan untuk tidak terus berada dalam sindrom penafian “kita tak kalah sebenarnya” bukan satu pilihan baik.
Malah kata bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan, memenuhi masa BN dengan gerakan “tactical” ala penggal lepas, juga bukan satu pilihan baik.
“Isyarat rakyat jelas, bukan “tactics” yang diperlukan sekarang, tetapi “overhaul”.
“Tiada komen tentang siapa patut jadi Perdana Menteri (PM) tapi mengapa tidak, Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai dua pemenang terbesar diberi ruang dan tanggungjawab untuk bincang bentuk Kerajaan stabil 150+ ahli Parlimen.Biar mereka tentukan siapa jadi PM.
“BN perlu fokus reform dan main peranan sebagai pembangkang berkualiti. Kita wajar dilihat menghormati suara rakyat dan berubah dahulu, bukan mencatur dulu,” cadang Shahril dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa jadi pembangkang bukan bererti duduk diam dan meratapi kekalahan.
“Tetapi sebagai parti alternatif dengan kritikan membina, perwatakan baru dan hujah bermutu untuk pertimbangan rakyat apabila PRU16 tiba.
“Jika PH-PN masih gagal sepakat siapa PM, barulah kita terpaksa masuk campur dan itupun sekadar persefahaman terhad seperti perkongsian saya sebelum ini. Untuk menghalalkan wujudnya sebuah Kerajaan mengikut Perlembagaan dan seorang PM dengan persetujuan 112 Ahli Parlimen. Itu sahaja. Masih boleh fokus agenda reform sebagai pembangkang,” ujar Shahril.
Pada ketika itu katanya, rakyat akan jelas, tindakan tersebut sebagai “last resort” kerana PH-PN tak dapat capai kesepakatan.
“Waktu itu, PH atau PN terpaksa akur dan tidak boleh salahkan kita kerana mereka yang tak mampu “deal” sesama mereka.
“Sebaliknya, jika kita dilihat awal-awal secara aktif mengangkat mana-mana pihak PH atau PN, (Datuk Seri) Anwar atau (Tan Sri) Muhyiddin, apatah lagi menjadi pelengkap kepada kerajaan dengan 30 kerusi, lain ceritanya.
“Semoga Mesyuarat MKT UMNO atau Dewan Tertinggi BN mampu memperhalusi. Kalau sudah tahu ditelan mati emak, diluah mati bapak, lebih baik jangan masuk mulut langsung. Let today’s winners decide their own destiny. We focus on trying to be winners tomorrow,” kata Shahril.