KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengarahkan Kerajaan Persekutuan untuk mengadakan satu kajian semula bersama Kerajaan Sabah di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan bagi memberikan kesan terhadap hak 40 peratus.
Keputusan ini mengundang tafsiran yang mengelirukan seolah olah bahawa kononnya Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru Perdana Menteri menegaskan, bagi menghormati proses perundangan yang mungkin masih berlangsung, Kerajaan Persekutuan tidak dapat memperincikan apa jua perkara yang masih menjadi pertikaian di mahkamah.
“Hari ini bagi menyangkal tohmahan, saya ingin menerangkan kerangka besar berhubung komitmen Kerajaan Madani kepada pembangunan Sabah.
“Kerajaan Madani komited menzahirkan semangat Perjanjian Malaysia 1963 – pertamanya, saya ingin tegaskan bahawa, seperti mana Kerajaan Persekutuan dan negeri sebelum ini, iaitu Perdana-Perdana Menteri dan Menteri-Menteri sebelum ini, Kerajaan Madani komited memenuhi segala obligasi kepada Sabah sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Tidak dapat dimungkiri bahawa setakat ini, Kerajaan Madani telah mencapai kemajuan positif dalam menyelesaikan banyak isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri II.
“Sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan. Antara tuntutan yang dipersetujui bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah termasuklah: – penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada Kerajaan Sabah. Kendatipun begitu, Kerajaan Persekutuan tetap menyediakan 1.2 bilion ringgit untuk menjamin kelangsungan bekalan elektrik di Sabah,” jelas Anwar di Dewan Rakyat pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan memberitahu, Kerajaan Madani juga mengiktiraf Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Bekalan Air Sabah sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan 182.
“Selain itu, kita juga telah menyerahkan kuasa melulus bagi perolehan Projek Persekutuan kepada Jabatan Teknik di Sabah sehingga RM50 juta.
“Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (1995) Akta 53 bagi melantik wakil Kerajaan Sabah Dan Sarawak sebagai Anggota Tetap LHDN.
“Berkenaan Pemberian Khas Kerajaan Persekutuan kepada Sabah, kajian semula telah dilaksanakan dan diwartakan pada tahun 2022, 2023 dan 2025. Kajian ini adalah sah dan selaras dengan peruntukan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” hurai Anwar dalam ucapan penerangan berkait pendirian Kerajaan Madani berhubung pemberian khas Persekutuan kepada Sabah.
Memperincikan hal itu Anwar menjelaskan, kajian semula ini telah mengambil kira kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan serta keperluan untuk menampung kos perkhidmatan di Sabah.
Selain itu katanya, kajian semula ini juga meliputi tempoh 5 tahun; dan Pewartaan kajian semula telahpun dibentangkan ke Parlimen.
“Pemberian Khas kepada Sabah telah pegun pada kadar 26.7 juta ringgit sehinggalah tahun 2021. Pada tahun 2019, Kerajaan Sabah telah bersetuju dengan cadangan meningkatkan Pemberian Khas Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM53.4 juta.
“Kajian semula dibuat pada tahun 2022 dan persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah pada masa itu dicapai untuk menaikkan kadar Pemberian Khas kepada RM125.6 juta,” katanya.
Sementara itu, di bawah Kerajaan Madani, kajian semula Pemberian Khas juga dilaksanakan pada tahun 2023 dan kita mencapai persetujuan bersama untuk menggandakan kadar Pemberian Khas kepada RM300 juta.
“Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi melaksanakan kajian semula dan mencapai persetujuan dengan Kerajaan Sabah untuk menaikkan sekali ganda lagi kadar Pemberian Khas kepada RM600 juta.
“Pembayaran keseluruhan Pemberian Khas RM600 juta telahpun disempurnakan pada 10 September lalu kepada Kerajaan Sabah.
“Kadar Pemberian Khas yang dinaikkan kepada RM600 juta adalah bersifat interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan Pemberian Khas pada masa depan,” katanya.
Bukan cuma itu Perdana Menteri menjelaskan, perbelanjaan Kerajaan Persekutuan untuk Sabah juga terus meningkat.
Ujar Anwar, perbelanjaan ini meliputi pemberian negeri, perbelanjaan mengurus agensi Persekutuan, subsidi bahan api serta perbelanjaan untuk pembangunan.
“ Jumlah perbelanjaan sebenar untuk Sabah bagi tahun 2022 adalah sekitar RM13 bilion.
“Di bawah Kerajaan Madani, perbelanjaan untuk Sabah telah ditingkatkan kepada sekitar RM14 bilion bagi tahun 2023 dan 2024.
“Hakikatnya, perbelanjaan ini jauh melebihi jumlah hasil yang telah dikutip di Sabah untuk tahun 2022, 2023 dan 2024 iaitu sekitar RM10 bilion setahun.
“Hasil tersebut termasuk bayaran tunai hasil petroleum 5 peratus serta cukai langsung dan tidak langsung lain,” katanya.
Justeru katanya, ini bermakna, Kerajaan Madani telah membelanjakan lebih daripada hasil keseluruhan pendapatan di Sabah.
Dalam pada itu, di bawah Belanjawan 2026, Kerajaan Madani terus mengambil kira keperluan Sabah.
“Peruntukan pembangunan 2026 mencecah hampir RM7 bilion iaitu tertinggi ketimbang semua negeri lain.
“Di bawah RMK13, projek yang disenaraikan juga telah mengambil kira permohonan keutamaan Kerajaan Sabah. Umpamanya: – Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu (RM125 juta); • Jalan dari Kalabakan ke Simanggaris (RM416 juta); dan • Talian Penghantaran Elektrik Southern Link Fasa 1a (RM200 juta).
“Kerajaan Madani telah meneruskan semula pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B dengan kos keseluruhan projek sebanyak RM14 bilion merangkumi RM5 bilion peruntukan pembangunan dan RM9 bilion dibiayai melalui pinjaman,” jelas beliau.
Anwar memaklumkan, sejak 2024 juga, kerajaan telah menyediakan pembiayaan berjumlah RM1 bilion untuk projek air Sabah dan ini dijangka siap pada tahun hadapan.
“Selanjutnya, Kerajaan Persekutuan juga menyokong pertumbuhan sektor minyak dan gas di Sabah supaya dimanfaatkan rakyat di Sabah.
“Untuk itu, pada Disember 2021, Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) telah dimeterai dengan Kerajaan Sabah dengan hasrat meningkatkan penyertaan anak Sabah untuk berkecimpung dalam industri minyak dan gas Sabah.
“Dengan sokongan Kerajaan Madani, kerjasama tersebut membuahkan hasil dengan kontraktor minyak dan gas Sabah memperoleh projek bernilai RM2 bilion pada tahun 2024,” katanya.
Selain itu, Anwar menegaskan, Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Kerajaan Sabah mengenakan cukai jualan Sabah ke atas produk petroleum bagi tujuan menjana hasil tambahan kepada Sabah sekitar RM2 bilion sejak tahun 2022.
Anwar sekali lagi menyatakan bahawa Kerajaan Madani telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak, meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun untuk kesejahteraan Sabah.
“Komitmen ini adalah berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi selain menambah baik Pemberian Khas Sabah sesuai dengan keperluan perkhidmatan Kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan.
“Inilah tekad Kerajaan Madani dan sepertimana janji-janji lain, ia akan direalisasikan,” ikrar beliau.
Sesi itu diadakan susulan, Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.
Hal demikian Anwar berkata, Kerajaan Madani menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima kelak, sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan dan kepentingan Sabah dan Malaysia seluruhnya.



