KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengakui terdapat cubaan untuk menggulingkan beliau dalam parti.
Bercakap kepada Suara TV, beliau menyifatkan jawatan tertinggi itu direbut oleh banyak pihak dari luar dan dalam, bagaimanapun beliau memandang positif terhadap cubaan tersebut adalah bertujuan bagi memperkukuhkan umno itu sendiri.
“Politik ini sentiasa bergelora, lebih-lebih lagi untuk jawatan tertinggi dalam parti.
“Sudah tentu banyak yang mahu jawatan ini samaada daripada dalam dan luar yang mungkin juga pada saya ingin melihat umno lebih kuat.
“Banyak cubaan-cubaan untuk menggulingkan saya tetapi saya selalu percaya kita harus membuat kerja yang baik dan memperkuatkan parti Umno,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai suasana politik di negeri Sabah, beliau tidak menafikan bahawa Umno-BN jelas dianak tirikan di negeri itu.
“Memang Umno di anak tirikan, bukan lagi seolah-olah,”
“Apabila ADUN Umno tidak mendapat peruntukan, mereka tidak boleh membangun rakyat,” katanya.
Namun jelasnya, beliau sentiasa memastikan pimpinan serta ahli umno di negeri itu untuk terus memperkuatkan parti mengikut keadaan semasa.
“Tidak dapat dinafikan memang ada kesan tetapi saya telah berpesan kita harus mengikuti keadaan apa yang ada.
“Walaupun umno ini sebahagian dalam kerajaan, tetapi hakikatnya umno di Sabah ini jadi pembangkang kerana ADUN Umno di negeri ini tiada ada peruntukan, jawatan jawatan di kampung juga tidak ada, jadi saya tidak nampak kita ada persamaan dalam keadaan ini,” katanya.