Selepas mencetuskan pelbagai perbualan ketika ditayangkan sebelum ini, filem Konspirasi nampaknya belum benar-benar menutup tirainya. Sebaliknya, karya terbitan Elepfilm Entertainment Sdn Bhd itu kini berpeluang kembali ke pawagam menerusi sebuah edisi khas yang sedang dirancang oleh pihak produksi.
Menariknya, hasrat untuk membawa semula filem berkenaan bukan semata-mata datang daripada pihak produksi, sebaliknya turut didorong permintaan penonton yang masih mahu melihat Konspirasi kembali di layar perak.
Penerbit Eksekutif Elepfilm Entertainment, Jack Yeoh, berkata pihaknya sudah mempunyai sasaran untuk tayangan semula berkenaan dan pengumuman rasmi dijangka dibuat dalam masa terdekat, tertakluk kepada proses serta sokongan pihak berkaitan.
Menurutnya, tayangan semula itu bakal hadir sebagai edisi khas dan perlu mengikut pekeliling serta ketetapan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
“Kita memang sudah ada sasaran untuk tayangan semula. Cuma buat masa ini kita masih memerlukan sokongan rasmi FINAS sebelum ia dapat direalisasikan,” katanya ketika ditemui pada sesi tayangan khas Konspirasi di TGV Pavilion Kuala Lumpur.
Bagi Jack, permintaan penonton untuk melihat semula filem berkenaan memberikan satu perkembangan yang cukup positif buat pasukan produksi.
Selepas tayangan filem itu ditamatkan pada 28 Mei lalu, hanya kira-kira seminggu selepas ia mula ditayangkan, perhatian terhadap Konspirasi tidak pula berhenti begitu sahaja. Malah, perbincangan mengenainya terus menjadi antara perkara yang mengiringi perjalanan filem berkenaan.
Kini, pihak produksi melihat peluang tayangan semula sebagai satu lagi ruang untuk membolehkan penonton menikmati karya tersebut, selain memberi peluang kepada mereka yang mungkin belum sempat menontonnya sebelum ini.
Pada masa sama, Elepfilm Entertainment juga tidak mahu kejayaan Konspirasi dilihat hanya berdasarkan sambutan di Malaysia.
Jack berkata, pihaknya sedang melihat potensi untuk membawa filem itu ke beberapa pasaran antarabangsa termasuk Taiwan dan Korea Selatan, selain usaha memperluaskan ketersediaannya di platform penstriman digital.
Sambutan di Singapura juga menjadi antara perkembangan yang memberi keyakinan kepada pihak produksi apabila filem berkenaan dilaporkan mampu bertahan selama enam hingga tujuh minggu di negara jiran tersebut.
Bagi pasukan produksi, sambutan berkenaan menunjukkan bahawa cerita yang dibawa Konspirasi mempunyai ruang untuk diterima oleh penonton di luar Malaysia, khususnya kerana isu yang diketengahkan bukan terhad kepada satu negara sahaja.
Pelakon utama, Datuk Adi Putra, pula melihat elemen kontroversi dan sensasi yang mengiringi filem berkenaan sebagai sebahagian daripada perhatian yang hadir dalam dunia hiburan.
Namun begitu, beliau mahu penonton melihat lebih jauh daripada perkara yang berlaku di sekeliling filem tersebut.
Katanya, elemen konspirasi dalam cerita memang penting untuk menghidupkan jalan cerita, tetapi mesej mengenai isu korupsi merupakan perkara yang lebih besar untuk difahami penonton.
Bagi Adi, penonton seharusnya diberi ruang untuk menilai sendiri realiti yang cuba diketengahkan menerusi sinopsis dan keseluruhan jalan cerita filem tersebut.
Sementara itu, Che Puan Sarimah Ibrahim turut menyambut baik peluang untuk melihat Konspirasi diberikan ruang kedua untuk bertemu penonton.
Menurutnya, peluang tersebut cukup bermakna buat barisan pelakon dan kru yang telah mencurahkan tenaga sepanjang proses pembikinan filem berkenaan.

Nafas kedua ini sangat dinantikan. Walaupun terdapat pelbagai cabaran teknikal di belakang tabir, kepuasan sebenar bagi kami adalah apabila hasil kerja yang dihasilkan dapat diterima dan dihargai oleh penonton,” katanya.
Filem Konspirasi menampilkan barisan pelakon termasuk Datuk Adi Putra, Che Puan Sarimah Ibrahim, Esma Daniel dan Amir Nafis. Majlis tayangan khas turut dihadiri YAM Tengku Temenggong Perlis, Dato’ Seri DiRaja Syed Amir Abidin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, YM Che Puan Temenggong Perlis Datin Seri DiRaja Farinawati Datuk Mohd Din serta mantan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Diterbitkan menerusi kerjasama Elepfilm Entertainment dan Asia Tropical Films serta diedarkan oleh Primeworks Studios, Konspirasi mengisahkan pasukan elit yang diketuai Adli dalam misi merampas sebuah pelayan tersembunyi yang mengandungi senarai ahli politik korup.
Namun, misi yang pada awalnya dilihat sebagai usaha untuk membongkar kegiatan rasuah bertukar menjadi satu perangkap apabila berlaku pengkhianatan dalaman dan campur tangan pihak asing.
Penamatan tayangan filem itu pada Mei lalu sememangnya mengundang pelbagai spekulasi. Bagaimanapun, Elepfilm Entertainment menegaskan keputusan berkenaan dibuat atas pertimbangan dalaman syarikat dan tidak mempunyai kaitan dengan strategi pemasaran mahupun gimik publisiti.
FINAS sebelum ini turut mengesahkan bahawa penamatan tayangan dibuat atas permintaan penerbit berdasarkan kenyataan rasmi yang diterima melalui MA FE dan pihak pengedar filem.
Justeru, pihak produksi berharap segala spekulasi mengenai perkara berkenaan tidak lagi menjadi tumpuan utama. Sebaliknya, mereka mahu perhatian diberikan kepada peluang untuk membawa semula Konspirasi kepada penonton menerusi tayangan khas yang sedang dirancang.
Buat masa ini, tarikh rasmi tayangan semula masih belum diumumkan dan ia bergantung kepada persetujuan serta proses berkaitan dengan pihak berwajib.
Kalau semuanya berjalan seperti yang dirancang, Konspirasi mungkin tidak sekadar mendapat tayangan kedua di pawagam tempatan, tetapi turut membuka pintu kepada perjalanan yang lebih jauh menerusi pasaran antarabangsa dan platform penstriman.
Apa yang pasti, permintaan penonton telah memberikan filem ini satu lagi peluang untuk bernafas. Kini, tinggal menunggu pengumuman rasmi sama ada Konspirasi benar-benar akan kembali menyinari layar perak Malaysia.



