KLUANG – Kelantangan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh bukan menggambarkan beliau seorang yang anti kepada kepada mana-mana kaum ataupun rasis.
Beliau sebaliknya hanya membawa suara Umno yang memperjuangkan Melayu dan Islam seperti yang termaktub dalam perlembagaan parti.
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah malah beranggapan tiada keperluan untuk Dr Akmal memohon maaf kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok seperti gesaaan Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau.
“Mengapa nak kena minta maaf? Saya rasa ini adalah pandangan ikhlas daripada Ketua Pemuda (Umno) kita (Akmal) dia meluahkan perasaan (dan ini) bukan soal sijil halal tak halal tapi soal perasaan dia tak begitu puas hati.
“Pandangan saya, macam apa yang diluahkan oleh pemimpin kita sama ada Akmal ataupun sesiapa, bukan beerti kita mempunyai perasaan anti ataupun nak lawan.
“Sebaliknya ia sekadar meluahkan macam-macam perkara yang dia tak senang hati terhadap orang lain,” katanya ketika ditemui pemberita ketika program sembang santai petang bersama Gabungan Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Kluang, di PDM Kampung Melayu 1, pada Ahad.
Terdahulu media melaporkan, Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau menggesa Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal meminta maaf kepada Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dan semua rakyat Malaysia berhubung isu pensijilan halal.
Ini kata Cheng Hau, keputusan terkini Kabinet untuk tidak mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan perniagaan makanan yang tidak menjual daging babi dan alkohol membuktikan kebenaran pendirian Kok.
Dalam perkembangan lain, Tengku Razaleigh yang mesra disapa sebagai Ku Li berkata, perjuangan Umno itu sendiri masih tidak berubah yakni Umno dianggap sebagai parti nasionalisme Melayu.
Untuk rekod, menurut Perlembagaan parti ini, Umno adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita agama Islam, Kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan Negara. Ia juga yang memperjuangkan hak-hak istimewa orang Melayu dan orang Bumiputera.
“Saya rasa masih tidak berubah (perjuangan Umno) tapi tidak beerti kita tidak mahu kepada pengundi orang-orang Cina, ini semua rakyat Malaysia.
“Namun pendirian itu (parti dalam Kerajaan Perpaduan) masing-masing bawa,” jelas bekas ahli Parlimen Gua Musang itu lagi.
Terkait suasana semasa menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Ku Li berkata, taktik utama lawan politik Umno ialah usaha jahat melemahkan orang Melayu.
“Kita mempunyai harapan baik di sini (Mahkota). Tinggal lagi di mana-mana kita pergi usaha dijalankan oleh pihak-pihak yang tak suka kepada kita ialah dengan bertindak memecah-belahkan orang Melayu.
“Maka disebabkan itu, kita Umno menghadapi masalah tapi bukan masalah yang besar ia masalah yang dilakukan oleh mereka yang tak suka melihat orang Melayu bersatu.
“Jadi kita kena lawanlah usaha yang jahat ini oleh pihak yang sengaja guna kesempatan ini untuk melemahkan kita orang Melayu,” ujar Ku Li.