KUALA LUMPUR- Inflasi Malaysia kekal 2.0 peratus pada Ogos didorong peningkatan lebih rendah bagi kumpulan Restoran & Hotel serta dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam satu kenyataan berkata, mata indeks mencatatkan 130.8 berbanding 128.2 pada bulan
yang sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyifatkan peningkatan didorong oleh peningkatan lebih rendah bagi kumpulan Restoran & Hotel, 4.7 peratus (Julai 2023: 5.0 peratus) dan Makanan & Minuman Bukan Alkohol, 4.1 peratus.
(Julai 2023: 4.4 peratus).
Ini diikuti oleh kumpulan Pelbagai Barangan & Perkhidmatan dan Kesihatan masing-masing meningkat sebanyak 2.4 peratus.
Kumpulan Makanan & Minuman Bukan Alkohol menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP telah merekodkan peningkatan sederhana iaitu 4.1 peratus (Julai 2023: 4.4 peratus).
Komponen Makanan di rumah merekodkan peningkatan marginal 2.9 peratus berbanding 3.0 peratus yang direkodkan bulan sebelumnya.
Kenaikan komponen Makanan di rumah adalah didorong terutamanya oleh subkumpulan Daging (5.8 peratus). Ini diikuti oleh subkumpulan Beras, roti & bijirin lain dan Susu, keju & telur masing-masing meningkat 4.0 peratus.
Selain itu, komponen Makanan di luar rumah mereda kepada 5.9 peratus berbanding 6.2 peratus yang direkodkan pada Julai 2023. Antara item yang menunjukkan peningkatan lebih perlahan adalah Nasi campur, Sate dan Nasi ayam.
Subkumpulan Daging yang merangkumi Daging ayam, Daging lembu, Daging babi, Daging kambing, Daging kerbau dan Daging itik mencatatkan peningkatan lebih tinggi 5.8 peratus pada bulan Ogos 2023 (Julai 2023: 5.5 peratus).
Ayam merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan Daging mencatatkan kenaikan 5.7 peratus berbanding 4.3 peratus pada bulan Julai 2023. Purata harga ayam standard di Malaysia meningkat kepada RM10.21 sekilogram berbanding RM10.51 sekilogram pada bulan Julai 2023.
Peningkatan pada subkumpulan Daging turut didorong oleh peningkatan Daging babi (18.5%) dan Itik (5.7 peratus). Namun, bagi perbandingan bulan ke bulan, subkumpulan Daging menurun kepada negatif 1.1 peratus (Julai 2023: -0.1 peratus).
Subkumpulan Beras, roti & bijirin lain meningkat pada kadar perlahan iaitu sebanyak 4.0 peratus pada Ogos 2023 (Julai 2023: 4.5 peratus). Ini antaranya disumbangkan oleh peningkatan sederhana kelas perbelanjaan Roti & kuih sebanyak 3.5 peratus (Julai 2023: 4.2 peratus) dan Tepung & bijirin lain sebanyak 2.3 peratus (Julai 2023: 3.9 peratus).
Namun begitu, kelas perbelanjaan Beras meningkat 3.0 peratus berbanding 2.4 peratus pada Julai 2023. Beras import meningkat 3.6 peratus (Julai 2023: 2.3 peratus).
Kerajaan telah melaksanakan sekatan pembelian beras putih tempatan, dengan had pembelian kepada 100 kilogram bagi setiap pengguna bermula 7 September 2023 bagi mengelakkan kekurangan beras putih tempatan di pasaran.
Sementara itu, inflasi subkumpulan Susu, keju & telur menyederhana kepada 4.0 peratus pada bulan Ogos 2023 (Julai 2023: 4.3%). Kelas perbelanjaan Susu tepung & keluaran susu lain dan Telur masing-masing telah mencatatkan kenaikan lebih rendah kepada 4.7 peratus (Julai 2023: 5.1 peratus) dan 1.4 peratus (Julai 2023: 2.0 peratus).
Subkumpulan Minyak & lemak terus mencatatkan penurunan bagi lima bulan berturut-turut iaitu negatif 1.4 peratus pada bulan Ogos 2023
(Julai 2023: -2.2 peratus).
Ini adalah sebahagiannya disebabkan oleh penetapan harga minyak masak yang masih kekal bagi tempoh 8 Ogos hingga 7 September 2023.
Tambahan pula, inflasi Restoran & Hotel meningkat perlahan kepada 4.7 peratus pada bulan Ogos 2023 berbanding 5.0 peratus pada Julai 2023. Peningkatan lebih rendah subkumpulan Perbelanjaan di restoran & kafe kepada 4.5 peratus berbanding 4.9 peratus pada Julai 2023 merupakan penyumbang utama kepada peningkatan kumpulan ini.
Subkumpulan Perkhidmatan penginapan turut merekodkan peningkatan lebih rendah kepada 5.1 peratus berbanding 5.7 peratus
pada Julai 2023.
Inflasi Pengangkutan bagi Ogos 2023 tidak merekodkan sebarang kenaikan (0.0 peratus) berbanding negatif 0.4 peratus pada Julai 2023. Subkumpulan Perkhidmatan pengangkutan dan Pembelian kenderaan masing-masing meningkat sebanyak 3.5 peratus dan 0.7 peratus. Namun begitu, penurunan inflasi subkumpulan Pengurusan alat pengangkutan persendirian sebanyak negatif 0.3 peratus sedikit sebanyak telah mengimbangi inflasi kumpulan ini dari meningkat.
Tambahan pula, penurunan harga minyak Petrol tanpa plumbum RON97 kepada negatif 23.4 peratus pada bulan Ogos 2023 (RM3.37 seliter) berbanding Ogos 2022 (RM4.40 seliter) merupakan penyumbang kepada penurunan kelas perbelanjaan ini.
Kelas perbelanjaan ini menyumbang sebanyak 58.4 peratus wajaran kepada kumpulan ini.
Berhubung dengan inflasi di peringkat negeri, sembilan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras nasional 2.0 peratus. Walau bagaimanapun, hanya tujuh negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Sarawak (3.4 peratus), Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), Perlis (2.4 peratus), Perak (2.3 peratus), Selangor (2.3 peratus), Pahang (2.2 peratus) dan Melaka (2.1 peratus).