Anwar tegaskan tak memihak AS mahupun China

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri menegaskan Malaysia kekal bebas daripada sebarang pengaruh luar tanpa memihak mana-mana kuasa besar sama ada Amerika Syarikat (AS) mahupun China.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian kerajaan itu disampaikan sendiri kepada Naib Presiden AS, Kamala Harris ketika menghadiri ASEAN Summit Ke-43 di Jakarta, Indonesia awal bulan ini.

“Dia (Kamala) menyatakan kebimbangan sama ada Malaysia cenderung kepada China. Jawapan saya jelas (unequivocal), kita sangat bebas (fiercely independent), AS adalah sekutu tradisi kita, kita sentiasa alu-alukan penglibatan mereka, banyak isu kita kongsi bersama.

“Malah, secara peribadinya, AS sewaktu di bawah pentadbiran Bill Clinton dan George Bush, mereka menyokong perjuangan saya, jadi sudah tentu saya terhutang budi dengan AS kerana polisi mereka yang positif dan dinamik,” katanya dalam ucaptama Invest Malaysia New York anjuran Bursa Malaysia di New York semalam, lapor Utusan.

Namun, kata Anwar, hubungan baik dengan AS turut diimbangi dengan jalinan hubungan yang erat dengan China sejak beliau memegang jawatan Perdana Menteri hujung tahun lalu.

“Dengan China tahun lepas dan tahun ini, kita ada hubungan sangat baik, jadi ia meletakkan Malaysia dalam kedudukan unik dalam rantau ASEAN untuk menggunakan peluang ini bagi memanfaatkan hubungan antara pelabur AS dan China.

“Saya bukan nak menggalakkan perkara ini kerana ia bukanlah penyelesaian masalah antara mereka (AS-China) sama seperti konflik Russia-Ukraine, tapi dengan geopolitik hari ini, Malaysia mungkin boleh memainkan peranan kecil dalam mengurangkan ketegangan sekurang-kurangnya dalam komuniti pelaburan dan perniagaan,” katanya.

Bagaimanapun, dari segi pelaburan dan perdagangan, Anwar memaklumkan bahawa AS kekal sebagai pelabur terbesar negara berbanding China.

“China sudah tentu merupakan pemain utama di rantau ASEAN, dari segi perdagangan dan pelaburan. Walaupun baru-baru ini ada peningkatan pelaburan dan perdagangan dengan mereka, AS pula adalah pemain tradisi dan jumlah keseluruhan pelaburan yang diperoleh Malaysia menunjukkan AS kekal nombor satu.

“Bukan itu sahaja, kita meraih manfaat besar daripada penglibatan syarikat-syarikat dari AS contohnya Intel, maknanya ada keyakinan yang tinggi terhadap kita, jadi kita perlu terus berusaha menarik pelabur bagi memastikan Malaysia kekal destinasi utama buat pelabur-pelabur asing,” katanya.

Tahun lalu, AS menyumbang kepada aliran masuk bersih tertinggi ke Malaysia, dengan nilai berjumlah kira-kira RM37.8 bilion.

Malah, bulan lalu, Kedutaan AS di Malaysia menyatakan bahawa syarikat negara itu telah membuat komitmen pelaburan bernilai RM100 bilion dalam pelbagai sektor di Malaysia dalam tempoh 18 bulan lalu.

Pelaburan besar itu meliputi sektor elektronik dan semikonduktor, serta segmen pusat data yang merupakan bidang pertumbuhan besar.

Kredit foto: Fb Anwar Ibrahim

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat