KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju membenarkan pembukaan pusat, pulau dan kawasan pelancongan, serta aktiviti rentas negeri apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Semalam beliau mengumumkan 80 peratus populasi dewasa di negara ini telah lengkap divaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
Beliau berkata mesyuarat turut bersetuju membenarkan peralihan fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi tiga negeri berkuat kuasa Jumaat ini iaitu Negeri Sembilan akan beralih ke Fasa Empat, Pahang beralih ke Fasa Tiga dan Johor pula bakal memasuki Fasa Dua.
“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dengan mengambil kira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) serta peratusan lengkap divaksinasi.
“Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)” katanya dalam kenyataan hari ini. – Bernama