Timbalan Menteri Mengaku Kesal Minta Jawatan Untuk Anak

- Advertisement -

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz mengakui ada kelemahan di pihaknya berhubung cadangan permohonan perlantikan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pharmaniaga membabitkan anaknya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanah Merah berkata, isu terbabit juga sudah dijelaskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Pada masa sama, beliau kesal berhubung surat berkenaan yang tular dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, selain mengakui lebih berhati-hati selepas ini kerana kemungkinan juga berlaku salah faham dalam permasalahan berkenaan.

“Saya ingin menjelaskan bahawa saya sudah memaklumkan agar surat permohonan dibatalkan khususnya kepada pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) supaya tidak melantik anak saya di mana-mana pengurusan LTAT.

“Selain itu, saya akui terdapat beberapa kelemahan daripada pihak saya dan Insya-Allah, perkara ini akan diperbetulkan secepat mungkin.

“Sebenarnya surat yang diviralkan (ditularkan) terbabit sudah lama, bertarikh 5 Jun, malah anak saya sudah dimaklumkan sebelum ini bahawa dia tidak dilantik.

“Saya terkejut apabila surat ini tular, tambahan pula apabila ia berlaku sehari sebelum hari pemilihan, tetapi saya berfikiran positif dan beranggapan mungkin ia hanya kebetulan sahaja,” katanya.

Beliau ditemui dalam sidang media selepas majlis Persidangan Bersatu Parlimen Tanah Merah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 1, Tanah Merah, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan anak Timbalan Menterinya, Ikmal Hisham Abdul tidak dilantik sebagai sebagai Ahli Lembaga Pengarah Pharmaniaga.

Selain itu, beliau mengakui memberikan sokongan berhubung cadangan pelantikan anak timbalannya itu untuk memegang jawatan berkenaan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan beliau tidak mencampuri urusan pelantikan, sebaliknya menyerahkan kepada syarikat berkenaan untuk membuat keputusan.

Mengulas lanjut, Ikmal Hisham turut berterima kasih kepada Ismail Sabri yang menjelaskan kepada media bahawa tidak berlaku penyalahgunaan daripada pihaknya susulan isu yang berlaku.

“Jika diikutkan saya boleh menghantar surat secara terus kepada pengerusi LTAT, namun saya menghormati menteri dengan bertanya pendapat dan sokongannya terlebih dahulu.

“Walaupun ada surat sokongan, lantikan tetap tertakluk kepada syarikat berkenaan selain mengikut kemampuan dan kelayakan pemohon,” katanya. – HMetro

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat