KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah membuat kira-kira 1.2 juta permohonan kepada syarikat penyedia platform media sosial sejak 1 Januari 2022 hingga 15 Julai yang lalu untuk menghapuskan kandungan tidak sesuai di dalam media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata peningkatan jumlah permohonan menurunkan kandungan media sosial meningkat pada kadar 57 peratus daripada 309,322 kandungan pada tahun 2024 kepada lebih 400,000 kandungan tahun lepas.
“Daripada jumlah besar lebih 1 juta permohonan, kira-kira 1.13 juta kandungan di atas talian berjaya dipadamkan dari platform media sosial,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup International Regulatory Conference (IRC) 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata tahun ini sejak 1 Januari hingga 15 Julai 2026, MCMC telah pun membuat 377,502 permohonan untuk memadam kandungan.
“Jumlah itu bersamaan kira-kira 78 peratus daripada jumlah keseluruhan permohonan untuk tahun 2025,” katanya.
Menurut beliau, ia menunjukkan ada kira-kira secara purata 1,900 permohonan memadamkan kandungan dibuat MCMC setiap hari.
Teo berkata sepanjang IRC 2026 berlangsung seramai lebih 500 peserta dari Malaysia, negara ASEAN dan negara lain hadir untuk bertukar pandangan, cabaran serta berkongsi pengalaman masing-masing.
“IRC 2026 bukan sahaja satu tempat untuk berbincang tentang teknologi baharu tetapi juga perbincangan tentang tanggungjawab yang sentiasa hadir bersama,” ujarnya.
Beliau berkata sepanjang sesi dialog semua peserta melihat bagaimana inovasi boleh mencipta peluang, bagaimana menguruskan risiko tanpa menjejaskan kemajuan dan bagaimana keyakinan orang ramai boleh dipelihara di dalam landskap industri digital yang kompleks.
Paling menarik ketika berlangsung IRC 2026 ialah berkaitan teknologi robotik, pengurusan data dan juga tanggungjawab pengendali data serta kerajaan negara-negara lain dalam menyelia kemajuan digital masing-masing.
IRC 2026 melabuhkan tirainya hari ini selepas berlangsung selama 2 hari dengan 10 sesi dialog diadakan berkaitan pengurusan data, digital, teknologi robotik dan teknologi kuantum komputer menampilkan pakar teknologi dari pelbagai organisasi dari Malaysia dan luar negara.



