KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah supaya dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) daripada tuduhan pecah amanah terhadap harta kerajaan berjumlah RM6.6 bilion.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin menolak permohonan DNAA itu dan memberi masa hampir empat bulan kepada pendakwaan untuk menyerahkan dokumen lengkap kepada pembelaan dan menangguhkan prosiding perbicaraan yang sepatutnya bermula hari ini, kepada 14 November.
Terdahulu, Peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee mewakili Najib dan Datuk Seri K Kumaraendran bagi Mohd Irwan Serigar memohon anak guam mereka dilepas tanpa dibebaskan kerana mereka belum diserahkan dokumen yang lengkap untuk menyediakan kes pembelaan.
Pada 25 Oktober 2018, Najib dan Mohd Irwan Serigar mengaku tidak bersalah atas enam tuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), lapor BH pada Isnin.
Justeru, hari ini Najib dan Mohd Irwan Serigar gagal memperoleh pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) atas enam pertuduhan pecah amanah (CBT) membabitkan RM6.6 bilion.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan DNAA pasukan pembelaan, selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka masih belum berjaya menyahklasifikasikan banyak lagi dokumen perbicaraan.
Sebelum ini, mahkamah membenarkan beberapa penangguhan berikutan pasukan pembelaan masih belum menerima dokumen yang diperlukan untuk pembelaan kedua-dua tertuduh.
Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee dan K Kumaranedran, yang masing mewakili bekas perdana menteri Najib dan bekas ketua setiausaha perbendaharaan Irwan, memohon DNAA kerana pihak pendakwaan masih belum memberikan dokumen itu sejak kedua-dua mereka didakwa pada Mei 2018.
Mereka menegaskan bahawa pihak pendakwaan hanya cuba menyerahkan beberapa dokumen lewat petang Jumaat antara jam 5.45 petang dan 6 petang, apabila pejabat telah ditutup.
Menurut mereka, kelewatan itu mengakibatkan tiada masa untuk membincangkan strategi pembelaan dengan kedua-dua tertuduh.
“Apa yang mengganggu saya ialah pihak pendakwaan menyebut pada 2020 mereka bersedia untuk meneruskan perbicaraan, tetapi tiada usaha untuk menyahklasifikasikan dokumen itu sejak beberapa tahun lalu.
“Mereka memberi sedikit demi sedikit dan bukannya bersikap adil kepada anak guam saya. Demi keadilan, kami mahu DNAA,” kata Kumaraendran lapor Malaysiakini.
Farhan menyuarakan sentimen yang sama untuk diberikan DNAA, sambil menambah bahawa pihak pendakwaan sentiasa boleh mendakwa semula Najib dan Irwan apabila mereka bersedia dengan dokumen yang didedahkan.
Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi membantah permohonan DNAA itu. Katanya, perbicaraan masih boleh diteruskan dengan saksi yang kurang penting yang tidak bergantung kepada dokumen-dokumen yang diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.
Jamil kemudiannya menolak permohonan DNAA, dan pada masa yang sama mengarahkan pihak pendakwaan menyegerakan untuk menyahklasifikasikan dokumen untuk dikongsi bersama dengan pasukan pembelaan.