KUALA LUMPUR- Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg buat masa ini tidak mengidamkan jawatan Perdana Menteri sebaliknya mengambil pendirian realistik.
Kata Abang Johari, beliau sedar jumlah 31 kerusi Parlimen Sarawak adalah sangat minoriti jika dibanding 222 kerusi Parlimen seluruh Malaysia dan kedudukan itu sangat goyah.
“Kita perlu realistik, daripada 222 kerusi di Parlimen berapa saja portion Sarawak?
“Mereka (pemimpin politik di Semenanjung) juga ada ambitious personality. Kalau pemimpin Sarawak naik (jadi PM) mesti bila bergaduh akan disingkir kerana tak banyak kerusi (Parlimen).
“Langkah Dubai konon nama saya dimasuk supaya gantikan (Datuk Seri) Anwar. Saya tanya kenapa? Kita (GPS) ada 23 saja nanti yang majoriti banyak tu mereka tukar saya,” kata Abang Johari dalam audio siar Keluar Sekejap yang dimuat naik pada Isnin.
Pun begitu, Pengerusi GPS itu tidak menolak percaturan politik pada masa depan.
“Besok tak tahu lah?
“Tapi kalau tak ada majoriti di Parlimen, janganlah,” ujar beliau.
Abang Johari menegaskan untuk perancangan masa depan GPS, iltizam politik beliau menanam keyakinan dan keadilan yang boleh diberi kepada mereka yang berada di bawah naungan GPS.
“Untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, GPS akan lawan semua kerusi, pusat is pusat, negeri is negeri,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Abang Johari menyatakan Sarawak bukanlah king maker tetapi apa yang penting bagi GPS ialah Malaysia mempunyai kerajaan yang stabil dan dasar yang jelas.
“Persepsi di Semenanjung kata saya demand? Saya tanya adakah saya demand?
“Saya tak pernah demand, saya ikut apa yang termaktub dalam Perlembagaan saja.
“Saya tak demand, kamu yang bermasalah bukan saya yang bermasalah. Lamu nakkan saya, saya sokong kamu lah, setakat ini tiga PM saya tak pernah demand.
“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) semua PM kena hormat MA63.
“Saya tak pernah demand. Saya mahu Malaysia jadi kuat, Nusantara sebelah.
“Tak boleh buat kerja kalau bergaduh, bukan kita nak jadi PM,” tegas Abang Johari lagi.