KUALA LUMPUR- Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari mendesak Kerajaan Perpaduan agar melucutkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk memberikan persepsi ynag baik kepada pelabur luar.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata demikian sebagai reaksi kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menuntut pembangkang memberikan cadangan untuk penambahbaikan kepada kerajaan, bukan hanya buat konvoi motosikal.
“Menteri Ekonomi berkata, pembangkang diminta berikan cadangan untuk penambahbaikan kepada kerajaan, bukan hanya buat konvoi motosikal. Jawapan saya, konvoi motosikal itu ialah manifestasi kebangkitan orang muda yang meluat dengan kerajaan yang ada.
“Jika mahukan cadangan, saya berikan dua cadangan terlebih dahulu iaitu berikan persepsi yang baik kepada pelabur luar bahawa kerajaan serius untuk tidak bertolak ansur dengan perbuatan rasuah dan pecah amanah.
“Langkah paling penting ialah, gugurkan jawatan Timbalan Perdana Menteri daripada seorang individu yang sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah.
“Bukan satu kes, tetapi 47 kes. Pilih mana-mana ahli Parlimen yang bersih dan jika perlu daripada Umno-BN, masih ramai lagi yang tidak hadapi pertuduhan di mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.
Selain itu, beliau turut mengemukakan cadangan agar kerajaan melantik Menteri Kewangan yang boleh fokus kepada tugasannya.
“Lantik Menteri Kewangan yang boleh fokus kepada tugasannya. Inilah yang diperjuangkan sendiri oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum ini bahawa Perdana Menteri dan Menteri Kewangan mestilah orang yang berasingan ke arah mewujudkan ‘good governance’ yang berkesan.
“Tapi saya yakin, kedua-dua cadangan di atas tidak akan diterima. Jadi kepada rakyat, tolak sahaja kerajaan ini dalam PRN yang akan datang,” seru Ahmad Fadhli.



