KUALA LUMPUR: Niat Datin Niena Baharun sekadar berkongsi tip pilih jodoh kepada pengikut Instagram (IG), namun, rumah tangga sendiri pula yang dikaitkan netizen.
Baru-baru ini, pelakon Sayangku Kapten Mukhriz itu memuat naik entri IG Story yang menyentuh nasihat kepada gadis agar berhati-hati memilih pasangan hidup.
Namun, perkongsian itu disalah erti hingga dituduh ada kaitan dengan kisah rumah tangganya dengan Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi.
Melalui entri itu, Niena menyatakan status jejaka kaya dan berwajah tampan sebagai calon suami bukanlah jaminan kebahagiaan.
Sebaliknya, Niena percaya jejaka soleh dan paling penting, tidak menaikkan tangan ke tubuh wanita sebagai jodoh terbaik.
Niena menjelaskan, perkongsian itu tidak ada kena-mengena dengan rumah tangganya.
“Perkongsian itu bersifat umum. Namun, memang ada pengikut yang fikir entri itu kena dengan diri saya.
“Sebenarnya, saya terpanggil mengupas soal jodoh itu selepas terusik dengan berita seorang wanita bertarung nyawa selepas dipercayai dibelasah teruk suaminya.
“Saya geram kenapa wanita yang dipanggil isteri diperlakukan sedemikian rupa. Benar, perkara itu tidak pernah terjadi kepada saya.

“Namun, saat membaca berita itu, saya kasihan dengan wanita yang tidak bernasib baik. Apatah lagi dengan isu keganasan rumah tangga dilaporkan selama ini,” katanya kepada BH Online.
Niena menjelaskan, dia bersuara untuk memberi peringatan dan pengajaran kepada wanita solo agar usah ‘hanyut’ ketika bercinta.
Ibu dua anak itu tidak menyangka perkongsian itu tular.
“Tak sangka perkongsian itu viral… Sejujurnya, saya sedih membaca berita wanita yang dibelasah teruk itu,” katanya.
Niena bernikah dengan Aliff Firdaus pada 1 Februari 2018.
Berita Harian