CYBERJAYA,– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan pengguna rentan daripada risiko kandungan memudaratkan dalam talian.
Dua kod tersebut ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Jun 2026.
Menurut MCMC, penerbitan CPC dan RMC dibuat susulan sesi libat urus bersama pemain industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan, termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Februari hingga 31 Mac 2026.
MCMC berkata, pelaksanaan dua kod itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian, khususnya bagi memastikan pengalaman digital yang lebih selamat kepada kanak-kanak dan keluarga.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut MCMC, kod tersebut menetapkan jangkaan jelas kepada pemberi perkhidmatan supaya memikul tanggungjawab lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing.
CPC memberi tumpuan kepada keselamatan kanak-kanak melalui pendekatan “safety by design”, termasuk perlindungan bagi mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah umur 16 tahun.
RMC pula mewajibkan pemberi perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif seperti penilaian risiko, tadbir urus kandungan lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons berkesan, pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
MCMC berkata, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur.



