KUALA LUMPUR– Dalam satu kenyataan panjang menjelang hari pengundian Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tampil memberikan penjelasan penuh berkait pencalonannya serta menjawab kekeliruan dan kebimbangan yang timbul susulan tindakan Rafizi Ramli yang dikatakan hampir melepaskan jawatan.
Menurut Nurul Izzah, semasa beliau berada di India menghadiri sebuah persidangan antarabangsa, beliau dimaklumkan bahawa Rafizi telah mengosongkan pejabat dan menyediakan sepucuk surat perletakan jawatan.
“Timbul kebimbangan bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding. Hal ini menimbulkan keresahan dalam kalangan anggota serta pimpinan,” kata beliau sambil mendedahkan bahawa 201 daripada 220 cabang telah membuat seruan agar beliau tampil sebagai calon menggantikan Rafizi.
Tambah beliau, pengumuman pencalonan Rafizi hanya dibuat pada hari terakhir proses penamaan calon, selepas beliau sendiri mengesahkan hasrat bertanding.
Dalam ucapannya, Nurul Izzah menekankan bahawa meskipun terdapat perbezaan pendapat, hubungan persahabatan dengan Rafizi tetap kukuh.
“Kita pernah bermasam muka dalam menghadapi Tun Mahathir yang mahukan semua kerusi selamat. Tapi kita tetap bersama demi perjuangan reformasi,” ujarnya.
Beliau juga mengingatkan bahawa perpecahan dalam parti hanya akan melemahkan kekuatan sebenar PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 dan Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang.
Nurul Izzah turut menegaskan bahawa sekiranya beliau diberikan mandat sebagai Timbalan Presiden, beliau bersedia bekerjasama dengan Rafizi untuk memperkukuh parti.
“Begitu juga sebaliknya, jika mandat diberikan kepada beliau, saya akan tetap bersama, mendukung usaha membina KEADILAN yang lebih kuat dan bersatu,” katanya.
Menyentuh isu audit antarabangsa terhadap sistem pemilihan parti yang dikritik Rafizi, Nurul Izzah mengiktiraf keperluan penambahbaikan dan mendukung langkah tegas demi ketelusan dan akauntabiliti.
“Setiap calon ada hak bersuara. Tapi kita harus bina semula kepercayaan dalam parti – bukan dengan menyerang satu sama lain,” katanya lagi.
Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap kekuatan Rafizi yang telah membawa perubahan besar dalam landskap parti dan memainkan peranan penting dalam strategi pilihan raya lalu.
Mengakhiri kenyataannya, Nurul Izzah mengajak semua anggota kembali kepada semangat perjuangan reformasi yang asal.
“Kita tidak punya apa-apa seperti sekarang dahulu, tapi kita tahu perjuangan kita penting dan bermakna,” katanya sambil mengingatkan bahawa parti ini milik semua, bukan segelintir elit.