KUALA LUMPUR- Sekatan yang dikenakan oleh beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) dan barat terhadap Israel ketika ini disifatkan sudah terlalu lambat.
Situasi di Semenanjung Gaza semakin memburuk sehinggakan tiada lagi tempat untuk penduduknya mendapatkan perlindungan atau bekalan makanan.
Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali berkata, sepatutnya sekatan itu dikenakan kepada Israel sejak perang meletus pada Oktober 2023.
“Kami menghargai inisiatif yang diambil oleh Perancis, United Kingdom (UK) dan Kanada. Mereka mengenakan sekatan terhadap Israel, namun jujurnya, ia sudah terlalu lambat untuk perbetulkan situasi.
“Mereka patut ambil tindakan itu sejak hari pertama Zionis melancarkan perang di Gaza pada 7 Oktober 2023. Kalaulah langkah itu dilakukan dari awal, rakyat kami tidak akan menderita seperti hari ini.
“Tiada apa tinggal di Gaza ketika ini melainkan penduduknya yang terus berjuang meneruskan sisa hidup,” lapor Utusan pada Khamis.
Terdahulu, UK, Perancis dan Kanada mengancam menyekat Israel selepas Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berikrar mahu menawan keseluruhan Gaza.
Ketiga-tiga negara itu mendesak Israel menghentikan serangan di Gaza yang ketika ini sudah meragut hampir 60,000 nyawa.
Sejak 77 tahun lalu, perang Israel di Gaza disifatkan seperti ‘acara tahunan’ berikutan saban tahun rejim Zionis melancarkan serangan terhadap wilayah itu.
Serangan Israel semakin agresif dengan tahun ini menyaksikan Zionis melakukan sekatan bantuan kemanusiaan paling lama sehingga mencetuskan kebuluran akut di Gaza.
Israel memberi alasan serangan yang dilakukan untuk menyasarkan kubu Hamas, namun penduduk awam yang menjadi korban.
Ditanya mengenai adakah Hamas perlu melepaskan pentadbiran di Gaza bagi menghentikan perang, Walid berkata, Israel tetap melancarkan serangan walaupun bukan Hamas yang berkuasa di wilayah itu.
Katanya, niat Israel cuma satu, iaitu merampas Palestin sepenuhnya.
“Hanya Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) diiktiraf antarabangsa untuk negara dan rakyat Palestin, namun pemilihan Hamas sebagai kerajaan di Gaza juga dilakukan menerusi pilihan raya yang sah.
“Apa yang penting ketika ini adalah akhiri perang di Gaza supaya penduduknya boleh membuat pilihan siapa yang akan mentadbir wilayah itu.
“Palestin mengamalkan demokrasi, jadi biar rakyat yang menentukan siapa pemimpin dan kerajaannya,” katanya.
Walid turut mempersoalkan mengapa dunia boleh membantah perang Russia di Ukraine namun berdiam diri tentang apa berlaku di Palestin.
Beliau berkata, media Barat yang berat sebelah turut memainkan peranan dalam menunjukkan situasi di Gaza.
“Kita disajikan dengan laporan berat sebelah yang langsung tidak menggambarkan situasi sebenar di Palestin, khususnya di Gaza.
“Jadi, ada pihak yang beranggapan kami mereka cerita sedangkan setiap hari rakyat Palestin terkorban. Ini amat menyedihkan,” katanya.
Sementara itu, Walid juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia yang tidak pernah berhenti menyokong kemerdekaan Palestin.
“Walau apa berlaku, Malaysia sentiasa berdiri bersama Palestin. Perjuangan kami mungkin belum selesai, namun akan terus bangkit dengan solidariti dari Malaysia,” katanya.