PUTRAJAYA — Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin meluahkan rasa kecewa terhadap penyebaran satu hantaran tular di media sosial yang mendakwa beliau membuat tuduhan terhadap Masjid Putrajaya berhubung pelaksanaan solat sunat Aidilfitri.
Beliau menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar dan merupakan fitnah jahat yang disebarkan oleh sebuah halaman media sosial yang menggunakan pendekatan parodi.
Menurut Radzi, pada awalnya beliau tidak berhasrat untuk memberi sebarang respon kerana mahu menghormati suasana sambutan Aidilfitri. Namun, beliau tampil menjelaskan perkara sebenar selepas ramai pihak menghubungi dan bertanyakan kesahihan maklumat yang tular itu.
Katanya, penyebaran maklumat palsu sedemikian mencerminkan cabaran besar dalam era ledakan maklumat di media sosial, di mana masyarakat berdepan fenomena lambakan maklumat atau information overload yang menyukarkan proses membezakan antara berita sahih dan fitnah.
Beliau menjelaskan bahawa individu yang mempunyai tahap kesangsian atau skeptisisme yang tinggi akan berusaha mengesahkan sesuatu maklumat sebelum mempercayainya, manakala mereka yang kurang bersikap kritikal lebih mudah menerima dan menyebarkan maklumat tidak tepat.
Radzi turut mendakwa pendekatan menggunakan parodi untuk menyebarkan fitnah terus digunakan kerana terdapat segelintir pembaca yang mempercayai kandungan tersebut dan seterusnya berkongsi kepada orang lain.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dalam menerima maklumat di media sosial serta mencadangkan agar halaman yang didakwa menyebarkan fitnah didedahkan supaya masyarakat dapat mengabaikannya pada masa hadapan.
Terdahulu, Radzi memaklumkan beliau menunaikan solat sunat Aidilfitri di Surau Nur Perdana, Presint 10 Putrajaya bersama penduduk setempat.
Beliau berharap Aidilfitri terus menjadi medan mengeratkan silaturahim dan memupuk keharmonian dalam kalangan masyarakat.



