Yayasan Selangor salur RM990,000 taja pelajar program Bitara

- Advertisement -

Oleh: Zihan Zari

PETALING JAYA – Yayasan Selangor (YS) telah menyalurkan peruntukan pendidikan berjumlah RM990,000 menerusi Program Bitara kepada pelajar tajaannya yang mengikuti sesi persekolahan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Kolej Yayasan Saad Melaka (KYSM) bagi tahun 2024/2025.

YS dalam kenyataannya pada Jumaat, menjelaskan seramai 55 murid, anak kelahiran Selangor terpilih yang ditempatkan di 12 buah MRSM adalah murid Tingkatan 1 hingga 5, manakala tujuh murid Tingkatan 4 hingga 5 di KYSM.

“Mereka adalah golongan B40 dengan pendapatan perkapita keluarga kurang daripada RM2,000 sebulan dan penajaannya meliputi yuran persekolahan, penginapan, pengajian, makanan, wang saku serta peranti.

“YS berkolaborasi dengan MRSM dan KYSM melaksanakan program ini sejak 2021, bagi melahirkan murid yang global, cemerlang dan kompetitif seterusnya menghasilkan modal insan yang memenuhi keperluan pasaran pekerjaan bertaraf dunia dalam menyumbang tenaga kerja berprestasi tinggi yang akan melebihi jangkaan negara khususnya di Selangor,” katanya.

Menurutnya lagi, penempatan pelajar di MRSM dan KYSM yang melahirkan ramai pelajar cemerlang, memberi mereka peluang untuk meneruskan pengajian di sekolah elit dengan iklim pembelajaran kondusif serta prasarana yang lebih efektif.

Dalam pada itu, simbolik bagi penyerahan surat tawaran kepada murid yang terpilih bersama ibu bapa masing-masing telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif YS Zaini Sulaiman di sini pada Rabu.

Menurut kenyataannya lagi, YS ditubuhkan pada 5 November 1970 di bawah Akta Syarikat 1965 bagi memberi bantuan dan galakan dalam bidang pendidikan kepada semua rakyat Malaysia yang kurang kemampuan dan berpotensi khasnya di Selangor.

“Sehingga kini, yayasan ini terus konsisten mengekalkan tradisinya membangunkan sumber manusia melalui program-program pendidikan selaras dengan visinya untuk menyediakan prasarana pendidikan yang efektif dalam membentuk generasi insan kamil,” ujarnya. – Suara.TV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat