Agong sumbang 25,000 kampit beras kepada asnaf di KL

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi sumbangan sebanyak 25,000 kampit beras 10 kilogram kepada golongan asnaf di ibu negara.

Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini berkata, sumbangan beras itu merupakan hasil cetusan hati sanubari Yang di-Pertuan Agong.

“Yang di-Pertuan Agong begitu prihatin dengan nasib mereka yang kurang berkemampuan di Kuala Lumpur. Maklumlah kita sedang berdepan dugaan ekonomi dan harga barang. Fonemena ini berlaku di banyak negara.

“Bulan Ramadan ini Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan 25,000 kampit beras daripada jenama yang baik dan setiapnya 10 kg kepada asnaf di sekitar Kuala Lumpur,” katanya yang mewakili Sultan Ibrahim menyerahkan kampit beras kepada golongan asnaf di Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda pada Jumaat.

Azuan Effendy berkata, walaupun sumbangan kampit beras 10 kg itu kelihatan kecil, tetapi kurniaan beras tersebut amat bermakna buat golongan yang dalam kesusahan memandangkan beras merupakan makanan ruji rakyat Malaysia.

Menurut beliau, selepas ini akan ada lebih banyak lagi program-program bantuan seperti itu diadakan yang diharap sekurang-kurangnya dalam melegakan keperitan mereka yang dalam kesusahan di Kuala Lumpur.

“Saya fikir ini bukan satu-satunya bantuan Yang di-Pertuan Agong akan laksanakan. Memang menjadi harapan dan keinginan Seri Paduka Baginda untuk sebaik mungkin membantu mereka yang susah,” katanya.

Beliau berkata, program kurniaan beras oleh Yang di-Pertuan Agong kepada golongan yang memerlukan itu juga sedang diteliti untuk dilaksanakan di Labuan selepas ini.

“Program ini elok juga diadakan di masjid kerana menjadikan masjid bukan sahaja tempat ibadat, tetapi termasuk tempat menjalankan program amal jariah dan juga mengimarahkan masjid,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat